Bekas pengurus didakwa pecah amanah
Seorang bekas pengurus mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini, atas tuduhan melakukan pecah amanah berjumlah RM31,550 pada tahun lalu.
Pengakuan wanita itu, Lee Li Fung, 52, yang beralamat di Seri Kuantan, direkodkan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara Julai hingga Oktober 2018 melibatkan 10 keping cek milik syarikat pembinaan di Jalan Beserah Kuantan, yang diamanahkan ke atasnya selaku pengurus untuk kegunaan sendiri.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding itu, Lee yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah mengurangkan jaminan RM40,000 dengan seorang penjamin yang ditawarkan pihak pendakwaan ke atas dirinya.
"Saya ibu tunggal dan mempunyai seorang anak. Kini saya bekerja sebagai jurujual dengan gaji sekitar RM2,500 sebulan," katanya.
Siti Aminah menetapkan jaminan sebanyak RM14,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 3 Okt depan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syarifah Nursyuhada Tuan Mamat.
- Bernama

