Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan hukuman lebih berat seperti sebatan mandatori dikenakan terhadap penjenayah yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan hidupan liar di negara ini, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.
Beliau berkata cadangan itu yang akan dibawa kepada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang merupakan inisiatif PDRM dalam membanteras isu pemburuan haram dan penyeludupan haiwan liar di negara ini.
"Pihak polis turut menggerakkan elemen-elemen di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) termasuk cawangan udara dan polis marin menerusi Op Bersepadu Khazanah bagi membantu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) membanteras jenayah hidupan liar di hutan, udara dan laut.
"Operasi yang sebelum ini diselaraskan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) turut dimantapkan dengan melibatkan kepakaran dari Pasukan Elit Senoi Praaq dari Batalion 3 dan Batalion 18 Pasukan Gerakan Am (PGA) di bawah KDNKA terdiri dari suku kaum asli yang amat mahir dan berkeupayaan menjejak musuh di dalam hutan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Op Bersepadu Khazanah di Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, Perak hari ini.
- Bernama
