Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sumber: Pegawai kanan SPRM dipindah dalam penstrukturan semula

Beberapa pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah dipindahkan dari ibu pejabatnya di Putrajaya sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula, kata sumber.

Malaysiakini difahamkan antara pegawai yang dipindahkan ialah mereka yang bergred Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa).

Sumber-sumber berkata, antara yang dipindahkan ialah pegawai integriti SPRM yang diletakkan di Felda, Norazlan Mohd Razali. Jawatan barunya ialah pengarah SPRM Johor.

Menurut sumber, arahan pemindahan rasmi Norazlan adalah untuknya menjalankan tugas sebagai ketua operasi di Johor dan pada masa sama terikat dengan Bahagian Khidmat Pengurusan di ibu pejabat SPRM.

"Ini kerana pangkatnya iaitu Jusa B jauh lebih tinggi berbanding apa yang sepatutnya bagi pengarah SPRM negeri," katanya.

Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM Hishamuddin Hashim pula dipindahkan ke Pahang sebagai pengarah SPRM negeri.

Untuk rekod, Hishamuddin merupakan bekas pengarah SPRM Selangor dan menjadi pegawai penyiasat dalam siasatan terhadap pemimpin DAP Ean Yong Hian Wah, yang menyaksikan kematian pembantu Yong, Teoh Beng Hock, pada 2009.

Pauzan Ahmar, pegawai tadbir diplomatik (PTD) kerajaan yang memegang jawatan pengarah Bahagian Khidmat Perkhidmatan SPRM, akan dipindah ke Bahagian K-Ekonomi Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Sumber berkata lagi, perubahan ini turut menyaksikan dua lagi pegawai kanan dipindah ke Selangor dan Sarawak untuk menjadi timbalan pengarah negeri.

Mereka ialah Azlan Sarkawi dan Anuar Ismail. Pemindahan mereka - masing-masing ke Selangor dan Sarawak - berkuatkuasa hari ini.

Sebelum ini Azlan merupakan pengarah Bahagian Pengurusan Rekod dan Teknologi Maklumat, manakala Anuar difahamkan adalah orang ketiga dalam Bahagian Operasi Khas.

Menurut sumber, selain pemindahan Pauzan yang dibuat atas arahan Jabatan Perkhidmatan Awam, kesemua pemindahan lain di bawah arahan Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya.

Difahamkan dengan pemindahan ini, penyandang pengarah SPRM Pahang dan Johor dan timbalan pengarah SPRM Selangor dan Sarawak, akan dipindah ke jawatan dan tempat lain, termasuk ke ibu pejabat di Putrajaya.

Malaysiakini telah mengesahkan pemindahan ini dengan sejumlah sumber yang dipercayai dan mendapati Norazlan telah melapor diri di Johor semalam, manakala yang lain akan berbuat demikian esok.

Pauzan pula telah melapor diri di Kementerian Hal Ehwal Ekonomi pada 22 Ogos lalu, berdasarkan arahan pemindahannya.

Sebab di sebalik penstrukturan semula ini belum dapat dipastikan dan Malaysiakini masih berusaha mendapatkan maklum balas Latheefa berkenaannya.

[Baca berita asal] 

Lihat Komen
ADS