Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes banglo: Mahkamah Rayuan dengar rayuan semak semula pembebasan Lim

Permohonan aktivis Muhsin Abdul Latheef agar Mahkamah Rayuan menyemak semula keputusan Mahkamah Tinggi untuk menggugurkan pertuduhan rasuah terhadap Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Phang Li Koon ditetapkan apda 22 November ini.

Dua individu itu sebelum ini dihadapkan dua tuduhan rasuah melibatkan pembelian banglo di Pulau Pinang ketika Lim menjadi ketua menteri negeri itu.

Mahkamah Tinggi membebaskan mereka tahun lalu selepas Pejabat Peguam Negara menerima representasi peguam mereka.

Pengurusan kes terakhir dibuat hari ini dengan Timbalan Registrar Mahkamah Rahuan Darmafikri Abu Adam di Putrajaya.

Peguam Muhsin, Gunamalar Joorindajn berkata pihak terlibat diarah memfailkan dan menyerahkan penghujahan bertulis dua minggu sebelum pendengaran.

Dalam permohonannya, Muhsin meminta agar pembebasan Lim dan Phang ditukar kepada dilepaskan tanpa dibebaskan agar peguam negara yang akan menggantikan Tommy Thomas pada masa akan datang akan menimbang untuk membuat pendakwaan semula.

Pada 10 Oktober tahun lalu, hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Hadhariah Syed Ismail menolak permohonan Muhsin agar Mahkamah Tinggi menyemak semula keputusan tersebut.

Responden - iaitu Lim dan Phang - membuat bantahan awal atas dasar Muhsin tiada locus standi untuk membuat permohonan itu, dan Mahkamah Tinggi tidak boleh menyemak semula keputusan sendiri.

Gunamalar bagaimanapun berkata Muhsin ada locus standi kerana dia bukanlah tidak terlibat langsung dalam perbicaraan.

"Dia ialah pengadu dan saksi pertama pendakwaan.

"Mahkamah Tinggi boleh bertindak sendiri (suo moto), tanpa mengira sama ada muhsin ada locus standi atau tak," katanya lagi.

Peguam Ramkarpal Singh mewakili Lim manakala V Sithambaran mewakili Phang.

Lihat Komen
ADS