Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NCCIM: Kempen boikot hanya burukkan polarisasi kaum

Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) menggesa rakyat Malaysia untuk mengambil pendirian menolak gesaan memboikot produk bukan bumiputera kerana langkah itu adalah tidak produktif dan boleh menyemai kebencian dan menimbulkan perpecahan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Presidennya, Ter Leong Yap yang menyifatkan perbuatan tersebut sebagai satu diskriminasi, dan menasihatkan rakyat Malaysia supaya tidak menyahut gesaan itu kerana tindakan sedemikian akan menjejaskan usaha untuk memupuk keterangkuman dalam kalangan rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa dan agama.

"Rakyat Malaysia harus kekal bersatu untuk menghadapi cabaran luaran dan tidak mengambil tindakan yang boleh menggugat hubungan kaum yang harmoni.

"Tindakan memboikot itu akan menimbulkan polarisasi kaum yang lebih buruk dan membangkitkan perasaan tidak menghormati antara satu sama lain dan mencetuskan tindakan balas jika ia tidak tangani dengan baik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ter juga berkata rakyat Malaysia yang berbilang kaum telah hidup bersama dalam keadaan aman dan harmoni dan oleh itu, hubungan erat yang telah lama terjalin perlu dipelihara dan dikekalkan.

"Dalam kehidupan harian, adalah menjadi perkara biasa jika kita lihat di restoran dan kedai kopi serta gerai, pelanggan bukan Islam/bukan bumiputera mengunjungi restoran milik orang Islam/bumiputera manakala pelanggan Islam/bumiputera makan di restoran halal yang dikendalikan oleh bukan-Islam/bukan bumiputera," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS