Gangguan sistem KLIA: Empat kakitangan MAHB lapor polis
Empat kakitangan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang digantung tugas telah membuat laporan polis untuk menafikan dakwaan penglibatan mereka berikutan gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bulan lalu.
New Straits Times melaporkan empat individu berkenaan adalah perintis pegawai IT dengan MAHB sejak 20 tahun lalu.
Laporan dibuat susulan laporan awal yang difailkan oleh pengurus kanan jabatan IT syarikat berkenaan terhadap mereka.
Menurut NST, empat kakitangan itu adalah antara 12 pegawai MAHB yang dipanggil polis untuk membantu siasatan terhadap gangguan teknikal selama empat hari itu.
Beribu-ribu penumpang terkandas di KLIA dari 21 Ogos hingga 24 Ogos selepas gangguan teknikal ke atas Total Airport Management System (TAMS) yang melibatkan fungsi utama termasuk sambungan WiFi, kaunter daftar masuk dan sistem pengendalian bagasi.
Sementara itu, portal dalam talian The Malaysian Insight memetik seorang jurucakap MAHB sebagai berkata tiada tuntutan pampasan setakat ini difailkan oleh syarikat penerbangan untuk mendapat ganti rugi yang didakwa berjumlah berjuta-juta ringgit.
"Tidak ada (tuntutan ganti rugi), dan jika ada yang dibuat, kami akan melihat semua tuntutan tanpa prasangka dan akan bertindak dengan sewajarnya selepas itu," kata jurucakap tersebut sambil menambah ia juga akan meneliti tuntutan daripada penumpang sekiranya ada.
Terdapat laporan awal mengatakan beberapa syarikat penerbangan yang tidak dinamakan akan menuntut pampasan bagi kerugian berjumlah lebih RM10 juta.
Operasi di KLIA kembali berjalan seperti biasa pada 25 Ogos selepas pengumuman MAHB mengenai penggantian peralatan rangkaian.

