Hilang RM29,421 selepas ditipu ‘pegawai polis’
Seorang pembantu perubatan mendakwa kerugian RM29,421 selepas mengikut arahan 'pegawai polis' untuk menukar nombor telefon bimbitnya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 29 tahun mendakwa arahan itu diberikan menerusi panggilan telefon pada pagi semalam.
Katanya, mangsa mendakwa 'pegawai polis' itu memperkenalkan diri sebagai pegawai yang menyiasat tunggakan pinjaman terhadap dirinya yang telah disenaraihitamkan oleh mahkamah.
"Suspek telah mengarahkan mangsa untuk ke cawangan bank berhampiran hospital tempat dia bekerja untuk menukar nombor telefon pada butiran perbankannya kepada nombor baharu yang diberikan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mohd Wazir berkata mangsa sekali lagi ke bank selepas tamat waktu bekerja dan mendapati baki akaunnya hanya tinggal RM79 menyebabkan dia berasa telah diperdayakan sindiket Macau Scam.
Sehubungan itu, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin semalam, dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
- Bernama

