Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nik Omar doakan Zakir tetap kuat
Diterbitkan:  Sep 4, 2019 2:31 PM
Dikemaskini: 6:31 AM

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Nik Omar Nik Abdul Aziz mendoakan Dr Zakir Naik agar pendakwah antarabangsa itu kekal kuat menghadapi ujian yang menimpanya.

Menerima kunjungan Zakir di pejabat Yadim hari ini, Nik Omar berkata, beliau mempelajari dan mendengar sendiri pengalaman pendakwah kelahiran India itu berjaya mengislamkan ribuan orang di pelbagai negara.

"Terima kasih diucapkan kepada Dr Zakir dan rombongan atas kesudiaan berkunjung ke pejabat Yadim dan berkongsi pandangan," katanya dalam perkongsian di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Zakir mencetuskan kontroversi selepas membuat kenyataan yang dianggap tidak sensitif terhadap masyarakat berbilang bangsa di Malaysia pada majlis syarahan di Kelantan bulan lalu.

Dia dipetik sebagai berkata bahawa penganut Hindu di Malaysia lebih menyokong Perdana Menteri India, Narendra Modi, berbanding Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, selain turut merujuk bangsa Cina di Malaysia sebagai "tetamu lama".

Walaupun mendakwa bahawa kenyataannya telah diambil luar daripada konteks, dia tetap meminta maaf susulan kenyataan tersebut.

Sementara itu, Nik Omar berkata, menjadi kewajiban untuk orang Islam di Malaysia membantu Zakir kerana itu tuntutan hak bersaudara dalam kalangan sesama penganut agama.

"Kita doakan segala ujian dan mehnah yang beliau hadapi menjadikan beliau terus kuat, dan sebagai seorang muslim, wajib ke atas kita untuk membantu beliau kerana itu tuntutan hak bersaudara.

"Sebarkan keamanan dan kesejahteraan walau di mana kita berada," katanya yang juga anak bekas menteri besar Kelantan, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Lihat Komen
ADS