Terjemahan Semua menteri kabinet didapati bersih dan perisytiharan harta mereka telah diluluskan oleh Perdana Menteri, Datuk Abdullah Ahmad Badawi.

Dewan Rakyat hari ini diberitahu, anggota kabinet berkenaan telah mematuhi arahan perisytiharan wajib harta mereka untuk dinilai oleh Perdana Menteri.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Suliman berkata, Abdullah telah menilai aset-aset yang diisytiharkan itu bagi menentukan samaada ia diperolehi secara sah atau secara melanggar undang-undang.

"Alhamdulillah, saya diberitahu setakat ini tiada mana-mana menteri dipertikaikan harta mereka," katanya bagi menjawab soalan M Kula Segaran (DAP-Ipoh Barat) dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Abdul Rahman menambah, menteri-menteri yang baru dilantik dalam rombakan kabinet baru-baru ini telah juga diarahkan mengisytiharkan harta mereka kepada Perdana Menteri, sebagaimana dikehendaki di bawah kod etika ahli Parlimen Barisan Nasional.

Selepas mendengar penjelasan Timbalan Menteri itu, Kula Segaran yang masih tidak berpuas hati telah bertanya siapa pula yang menilai dan memeriksa harta-harta milik Perdana Menteri.

Abdul Rahman bagaimanapun tidak menjawab pertanyaan Kula Segarn itu. Perisytiharan harta para menteri kepada Perdana Menteri tidak dikehendaki didedahkan kepada awam.

Dalam soalan tambahannya Kula Segaran turut bertanya bagaimana kerajaan dan orang awam dapat memantau aset yang dimiliki oleh penjawat awam.

Dalam jawapannya, Abdul Rahman berkata, terpulang kepada ketua agensi kerajaan berkenaan untuk menilai harta kakitangan bawahannya dan kemampuannya memiliki harta-harta tersebut.

Sebelum itu beliau yang menjawab soalan Richard Ak Jaem (BN-Serian) telah memberitahu bahawa sehingga 31 Desember 2005, seramai 2,080 kakitangan kerajaan belum mengisytiharkan harta mereka.

Kakitangan awam dikehendaki mengisytiharkan harta masing-masing setiap lima tahun sekali. Berita asal