Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) bersedia menjalin kerjasama dengan pemaju perumahan yang berkredibiliti bagi membina lebih banyak rumah mampu milik.
Presidennya Abdul Fattah Abdullah menyifatkan kerjasama itu bersesuaian dengan hasrat Angkasa mahu memenuhi keperluan kira-kira enam juta ahlinya memiliki kediaman sendiri di bawah program MyAngkasa Home.
"Koperasi di bawah Angkasa kebanyakannya memiliki tanah untuk dibangunkan di pinggir atau di luar bandar yang kita boleh tawarkan kepada pemaju perumahan untuk sama-sama membangunkan tanah itu.
"Apa yang penting adalah pemaju perumahan terlibat boleh memberikan harga kompetitif kepada ahli koperasi untuk membelinya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Projek Usahasama Merdeka Residensi di Kuantan hari ini.
Merdeka Residensi merupakan projek pembinaan pangsapuri servis setinggi 32 tingkat di sini, yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dengan jangkaan siap dalam tempoh tiga tahun.
Projek itu yang antara lain melibatkan pembinaan enam unit pejabat, enam unit kedai dan 361 unit kediaman serta tempat letak kereta bertingkat merupakan usahasama MyAngkasa Bina, JY Creative Development Sdn Bhd dan Rangkaian Delima Sdn Bhd.
Turut hadir Naib Presiden Angkasa Datuk Che Mohd Shukree Che Isa, Pengarah Urusan JYC Datuk Aw Yong Kai Jan dan Pengarah Eksekutif JYC Khor Kok Lim.
Abdul Fattah seterusnya memberi jaminan pihaknya sentiasa berusaha membantu ahlinya memiliki rumah sendiri kerana ia merupakan keperluan yang amat penting pada masa ini.
"Bantuan boleh dilakukan menerusi pinjaman bank seperti skim potongan gaji...sekiranya ada masalah kita boleh sama-sama cari jalan penyelesaian supaya pinjaman itu boleh diluluskan.
"Koperasi yang ada juga berpeluang membuat pelaburan dengan membeli rumah berharga tinggi sebagai aset untuk disewakan atau dijual pada masa hadapan," katanya.
- Bernama
