Penguatkuasaan undang-undang PSV tidak ditangguh – Loke
Kementerian Pengangkutan tidak akan menunda tarikh penguatkuasaan undang-undang ke atas perkhidmatan e-kelui memandangkan tempoh tiga bulan yang diberikan untuk pemandu-pemandu berkenaan mendapatkan Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) adalah mencukupi.
Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata selepas 12 Oktober, mana-mana pemandu e-kelui yang tidak mempunyai lesen PSV tidak lagi dibenarkan mengambil penumpang melalui perkhidmatan aplikasi e-kelui.
Bercakap dalam sidang media di kementeriannya di sini hari ini, Loke berkata bagi mereka yang belum berbuat demikian, mereka diminta untuk segera mengambil tindakan untuk mendaftarkan diri mereka bagi menduduki ujian lesen PSV.
“Ada lima minggu sebelum tarikh penguatkuasaan (12 Okt) dimulakan dan kita telah memberi masa mencukupi untuk pemandu e-kelui memenuhi syarat-syarat yang diberikan dan saya berharap tidak ada apa-apa aduan lagi seperti kata kita tak beri cukup masa dan peringatan,” katanya.
Loke berkata pihaknya tidak meletakkan sebarang sasaran jumlah pemandu yang perlu mendapatkan lesen PSV tetapi setakat ini, jumlah calon yang lulus ujian PSV adalah lebih 55,000 orang yang dianggap pemandu sepenuh masa e-kelui
“Sesetengah pengendali e-kelui mendakwa terdapat seramai lebih 100,00 pemandu e-kelui di negara ini tapi sebahagian besar dari mereka merupakan yang bekerja separuh masa atau hanya sekadar suka-suka mendaftar dengan perkhidmatan tersebut,” katanya.
- Bernama

