Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ERC syor SPR ambil alih daftar parti politik dari ROS
Diterbitkan:  Sep 4, 2019 6:11 PM
Dikemaskini: 10:11 AM

Laporan lengkap berhubung cadangan pengambilalihan pendaftaran dan kawal selia parti politik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dijangka siap akhir tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) Ab Rashid Ab Rahman berkata, pihaknya akan mengemukakan cadangan secara rasmi kepada kerajaan sejurus selepas laporan itu siap.

Cadangan itu dibuat memandangkan SPR adalah badan bebas yang tidak dikuasai mana-mana parti politik, namun kerajaan berhak membuat penilaian sewajarnya.

"ERC sedang sediakan laporan dan perakuan supaya pendaftaran parti politik dibuat oleh SPR dan ia sudah tidak lama lagi iaitu akhir tahun ini.

"Jika kerajaan terima cadangan ini maka tanggungjawab itu akan dipindahkan kepada SPR dan ia lebih telus kerana ROS ini adalah organisasi di bawah kerajaan," katanya pada sidang media selepas menghadiri program Libat Urus ERC Peringkat Negeri Terengganu di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini.

Terengganu adalah destinasi kedua terakhir sebelum Selangor bagi jelajah program Libat Urus ERC yang dijalankan di seluruh negara sejak tahun lepas.

Dalam perkembangan lain, Ab Rashid yang juga bekas pengerusi SPR berpendapat tiada keperluan untuk kerajaan membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan semula seperti yang ditimbulkan segelintir pihak.

Menurut beliau situasi politik pada masa ini adalah stabil dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) wajar meneruskan pentadbiran sehingga akhir penggal.

"Saya ikuti politik hari ini dengan rapat dan lihat tidak ada apa-apa masalah yang memerlukan kerajaan bubarkan Parlimen atau minta mandat baru.

"Jadi kerajaan perlu habiskan pentadbiran sehingga akhir penggal dan lepas itu baru adakan pilihan raya," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS