Pengurus syarikat rugi RM150,000 ditipu rakan
Niat untuk membantu rakan berniaga membawa padah buat seorang pengurus syarikat apabila wang simpanannya sebanyak RM150,000 'hangus' dalam pelaburan tidak wujud.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 42 tahun mendakwa dihubungi suspek bagi menyertai pelaburan syarikat membekalkan alatan pembinaan.
Suspek yang berusia 35 tahun mendakwa mereka telah memperoleh projek bernilai RM368,000 namun tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk dijadikan modal permulaan.
"Mangsa bersetuju untuk menyertai pelaburan itu dengan modal sebanyak RM150,000 yang dibayar pada Jun lalu, namun mendakwa suspek hanya mendiamkan diri apabila ditanya mengenai perkembangan pelaburan itu.
"Tindakan itu menyebabkan mangsa membuat semakan sendiri dan mendapati invois berkaitan projek yang diterimanya daripada suspek adalah palsu," katanya kepada pemberita di Kuantan hari ini.
Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pada kes berasingan, Mohd Wazir berkata seorang pembantu tadbir ‘mendakwa kerugian RM6,000 selepas terpedaya dengan helah sindiket Macau Scam kononnya dirinya terlibat dalam jenayah penggubahan wang haram.
Mangsa, 38, yang berasal dari Kuantan mendakwa menerima panggilan telefon pada petang Rabu lalu, kononnya dari Mahkamah Tinggi Kangar, Perlis
memaklumkan dirinya terlibat dalam siasatan kemalangan jalan raya di Arau.
"Panggilan itu kemudiannya dikatakan disambung kepada pengawai polis yang mendakwa maklumat peribadi mangsa digunakan dalam aktiviti penggubahan wang haram sehingga mempunyai satu waran tangkap.
"Suspek mendakwa boleh membatalkan waran tangkap itu jika suspek membayar jaminan sebanyak RM6,000 yang dipindahkan ke dalam akaun peribadi diberikan suspek pada petang semalam," katanya.
- Bernama

