Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Warga Turki Arif Gomis dan keluarganya dihantar pulang

Seorang guru warga Turki dan keluarganya yang dipercayai terlibat dengan kegiatan pengganas telah dihantar pulang ke negara asal pada minggu lepas, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.  

Beliau berkata enam sekeluarga termasuk empat kanak-kanak itu diserahkan kepada pihak berkuasa Turki dengan urusan penghantaran pulang diaturkan pihak Kedutaan Besar Turki di Kuala Lumpur menaiki penerbangan biasa.

"Saya yakin mereka akan mendapat keadilan di bawah sistem perundangan di negara itu apabila diserahkan untuk menjalani proses undang-undang," katanya kepada pemberita selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Perak 2019, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 300 pesara dan 200 pegawai berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima pingat masing-masing bagi menghargai jasa serta pengorbanan mereka kepada negara.

Yang turut hadir Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu.

Abdul Hamid menegaskan, pihaknya tidak sewenang-wenangnya menghantar pulang seseorang ke negara asal jika tidak mempunyai bukti kukuh bahawa mereka terlibat dengan kegiatan keganasan.

Beliau berkata berdasarkan maklumat diterima daripada Turki, guru berkenaan Arif Gomis, 43, terlibat dalam satu kumpulan yang dikatakan menganjurkan kekerasan dan melancarkan rampasan kuasa berdarah sehingga menyebabkan 200 kematian orang.

Dalam pada itu, Abdul Hamid meminta Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) supaya tidak membuat sebarang tuduhan melulu terhadap PDRM mengenai kes itu.

"Kalau tidak puas hati lagi mereka boleh datang ke pejabat saya dan saya boleh menjelaskan sebabnya kepada mereka.

"Saya yakin dia akan mendapat pembelaan dari segi undang-undang dan hak dia di sana. Kita memang diberi asas-asas apabila berkaitan dengan keganasan, kita beri kerjasama sepenuhnya," katanya.

Jumaat lepas, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata polis mempunyai asas yang kukuh untuk menghantar pulang guru itu dan keluarganya itu yang dipercayai terlibat dengan kegiatan pengganas.

Sebuah portal tempatan sebelum ini melaporkan pihak berkuasa Malaysia akan mengusir Gomis, 43, isteri dan anak-anak mereka atas dakwaan terbabit dalam satu gerakan yang dilabelkan Ankara sebagai ‘pengganas’, walaupun selepas mereka diberi perlindungan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Difahamkan Gomis terdedah kepada bahaya jika dipulangkan ke negara asalnya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS