Terjemahan Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar bertikam lidah dengan Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang di Dewan Rakyat berhubung dakwaan kerajaan membayar RM4.6 juta kepada pelobi bagi mengatur pertemuan antara bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Presiden George W. Bush tiga tahun lalu.

Dalam ucapan penggulungannya menteri itu menafikan dakwaan tersebut. Menurutnya walaupun amalan mengupah pelobi bagi mengatur pertemuan dengan pemimpin-pemimpin dunia adalah perkara biasa bagi negara lain, tetapi Malaysia tidak melakukannya.

Bagaimanapun Lim berkata terdapat bukti mencukupi untuk menunjukkan Malaysia telah membayar sejumlah wang kepada pelobi Amerika, Jack Abramoff bagi mengatur pertemuan antara kedua-dua pemimpin berkenaan.

Antara buktinya menurut beliau, termasuklah invois yang dihantar Abramoff kepada pejabat kedutaan Malaysia di Washington DC menuntut bayaran RM1.1 juta bagi "perkhidmatan tertentu" yang tidak diperincikan.

Abramoff baru-baru di hadapkan ke mahkamah Amerika dan dia mengaku bersalah terhadap tuduhan cuba lari dari cukai dan menipu.

Syed Hamid menegaskan, pertemuan antara Dr. Mahathir dan Bush itu diatur menerusi saluran diplomatik atas undangan Presiden Amerika itu.

"Saya boleh terima jika dikatakan peringkat akhir pertemuan itu diatur menerusi saluran diplomatik. Tetapi isunya sekarang ialah samaada kerajaan mengupah pelobi sebelum pertemuan itu diatur?" soal Lim.

Ketua Pembangkang itu bertanya lagi, mengapa Syed Hamid mepertahankan "bekas bos" nya itu sedangkan Dr. Mahathir sendiri mengaku ada menggunakan khidmat pelobi.

Syed Hamid membalas soalan Lim dengan menjelaskan, Dr. Mahathir hanya mengakui ada menggunakan khidmat pelobi tetapi tidak pernah menyatakan beliau mengupah pelobi untuk mendapatkan pertemuan dengan Bush. Berita asal