Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwa PKR tolak al-Quran: Nik Nazmi lapor polis terhadap 2 individu

Anggota Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini membuat laporan polis terhadap dua individu yang didakwa membuat kenyataan berbaur fitnah kepada PKR.

Dalam laporan polisnya, beliau menamakan Ketua Penerangan Umno bahagian Pokok Sena, Noran Zamini Jamaluddin dan penulis blog Raja Petra Kamaruddin yang didakwa mengatakan PKR menolak al-Quran sebagai kitab sebenar.

“Ia berkenaan ceramah dibuat oleh pemimpin Umno Noran Zamini dan dalam ceramah tu (Noran) ada cakap bahawa Keadilan (PKR) telah keluarkan kenyataan media bahawa kita tolak al-Quran sebagai kitab sebenar.

“Dia (Noran) membuat kenyataan merujuk kepada ulasan yang dibuat Raja Petra tentang sidang media biro politik PKR pada 21 Ogos lalu,” katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Nik Nazmi bersama peguamnya membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur, kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata kenyataan asal yang dibaca olehnya sewaktu sidang media PKR itu adalah untuk menjelaskan bahawa orang Islam mempunyai hak untuk berdakwah tetapi tidak seharusnya menyakiti perasaan kaum lain.

Kenyataan tersebut juga dikeluarkan susulan isu hangat berkenaan pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik.

“Kenyataan saya jelas yang kita (PKR) cuma cakap semua orang (Islam) ada hak untuk berdakwah tetapi jangan menyakiti kaum lain," katanya.

Bagaimanapun kata Nik Nazmi, kenyataan itu telah diputar belitkan oleh kedua-dua individu berkenaan.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Noran Zamini untuk mendapatkan respons berkenaan laporan polis tersebut.

Lihat Komen
ADS