Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sultan Muhammad V kesal, dukacita
Diterbitkan:  Sep 6, 2019 5:23 PM
Dikemaskini: 9:48 AM

Susulan tularnya beberapa gambar peribadinya Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menyatakan rasa kesal dan dukacita atas kekhilafan peribadi baginda.

Dalam kenyataan dikeluarkan Pengelola Istana D’Raja Kelantan, Nik Mohd Shafriman Nik Hassan, atas kekhilafan tersebut berlaku kekeliruan dalam kalangan rakyat yang didorong khabar angin.

“KDYMM (Ke bawah Duli Yang Maha Mulia) Sultan Muhammad V turut menzahirkan kekesalan dan rasa yang amat dukacita di atas kekhilafan peribadi baginda yang telah mengakitbatkan kekeliruan di kalangan rakyat, sehingga mendatangkan pertelagahan di media sosial kerana didorong oleh khabar angin yang tidak sahih,” kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan berkenaan, Nik Mohd Shafriman terlebih dahulu menafikan sekeras-kerasnya kenyataan tertentu yang disiarkan bersama gambar baginda yang disifatkannya sebagai berunsur fitnah dan "tidak beradab."

"Istana Kelantan teramat kesal dan membantah penyebaran gambar-gambar peribadi KDYMM Sultan Muhammad V di media sosial beserta semua kiriman yang tidak beradab berkaitan kehidupan peribadi baginda di media sosial.

"Istana Kelantan menafikan sekeras-kerasnya segala kenyataan tidak benar dan berunsur fitnah yang disiarkan bersama gambar-gambar berkenaan," kata Nik Mohd Shafriman.

Kenyataan tersebut dibuat secara umum dan tidak memetik sebarang nama atau kejadian.

Jangan mudah terpengaruh

Bagaimanapun untuk rekod baru-baru ini bekas isteri Sultan Muhammad V, Rihana Oksana, beberapa kali memuat naik gambar peribadi mereka di media sosial bersama keterangan gambar tertentu.

Perkongsiannya itu turut dilaporkan beberapa portal berita.

Menurut Nik Mohd Shafriman tidak menjadi kelaziman pihak istana untuk memberi penjelasan kepada sebarang bualan di media sosial.

Sebaliknya kata beliau Istana Kelantan memutuskan untuk menjernihkan kekeruhan didakwanya sengaja ditimbulkan untuk mengelirukan rakyat.

Ekoran daripada itu, Nik Mohd Shafriman menyeru agar orang ramai tidak mudah terpengaruh dengan sebarang kenyataan berunsur fitnah yang tersebar.

Katanya, Sultan Muhammad V tidak seharusnya dikaitkan dengan fitnah di media sosial kerana ia mencemarkan nama baik institusi kesultanan Kelantan.

“Sekali lagi pihak Istana menyeru supaya rakyat tidak mudah terpengaruh dengan penyebaran kenyataan yang tidak benar dan berunsur fitnah.

“Hanya kenyataan rasmi dari Istana Kelantan dan peguam kepada Sultan Muhammad V yang boleh diambil kira sebagai kenyataan tepat dan boleh diterima pakai oleh rakyat dan pengamal media.

“Sultan Muhammad V sebagai sultan yang memerintah Kelantan tidak seharusnya dikaitkan dengan fitnah dan coretan yang tidak sahih di media sosial.

“Fitnah-fitnah berupa coretan yang tidak benar ini telah mencemarkan nama baik Kesultanan Kelantan dan kerabat diraja Kelantan,” katanya.

Lihat Komen
ADS