Polis masih gagal kesan Farhash
Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador yang dinamakan sebagai suspek utama dalam kes merusuh masih belum tampil atau berjaya dikesan, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat.
"Suspek utama Farhash Wafa Salvador masih gagal dikesan dan diarahkan utk segera tampil bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Jelas Fadzil, setakat ini, polis sudah menahan lima individu berumur 22 dan 38 tahun.
"Kesemua bekerja dalam bidang kejurulatihan Muay Thai.
"Kesemua suspek telah ditahan reman bagi membantu siasatan," katanya.
Tambah Fadzil, empat suspek telah dibebaskan dengan ikat jamin polis pada hari ini dan seorang suspek akan diserahkan kepada Polis Ibu Pejabat Daerah Cheras kerana tersenarai sebagai orang yang dikehendaki dalam kes dadah.
Presiden PKR ANwar Ibrahim pada Khamis lalu menasihati Farhash yang juga merupakan setiausaha politiknya agar tampil berjumpa polis meskipun pengadu sudah menarik semula laporan.
Pengadu sebelum ini mendakwa Farhash dan beberapa individu lain menyerangnya di luar kompleks sukan di Ampang pada 31 Ogos lalu.
Dalam kejadian itu, pengadu mendakwa diserang sekumpulan individu bersenjata topi keledar, pisau dan kerusi. Pengadu mendakwa mengalami kecederaan di bahagian tisu pinggang, luka di bahagian anggota badan dan sakit di bahagian kemaluan.
Fadzil mengesahkan laporan polis berkenaan telah ditarik namun pihaknya masih memerlukan Farhash tampil membantu siasatan.
Kes berkenaan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara bagi arahan lanjut.

