Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan masih runding tawaran Rusia ambil semula jet TUDM

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata kerajaan masih dalam proses berunding berhubung tawaran Rusia untuk mengambil kembali jet pejuang milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang bermasalah.

“(Perkara) itu masih dalam siasatan dan rundingan kerajaan, kita kena lihat kesesuaiannya dan kemampuan negara kita juga,” katanya.

Jelas Mohamad, peralatan tentera Malaysia semakin uzur dan perlukan penggantian yang sebaiknya.

“Memang barang kita (peralatan tentera) sebenarnya telah usang dan perlu penggantian di mana yang diganti itu bergantung kepada rundingan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media acara larian Run For Peace di Padang Besar Taman Klang Jaya, Klang Selangor hari ini yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa Gunaraj R George.

Terdahulu, Rusia menawarkan untuk mengambil balik 28 jet pejuang jenis Sukhoi Su-30MKM dan MIG-29 milik TUDM yang bermasalah jika Malaysia sedia menggantikannya dengan pesawat baru buatan negara itu.

Portal Berita Harian melaporkan tawaran itu dibuat Presiden Rusia, Vladimir Putin dalam pertemuan dengan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad,

Rusia juga menawarkan alat ganti baru dan khidmat baik pulih jika Malaysia memutuskan untuk mengekalkan pesawat lama berkenaan.

Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah sebelum ini berkata Dr Mahathir memberitahu Putin bahawa kerajaan akan mempertimbangkan kedua-dua tawaran berkenaan.

Lihat Komen
ADS