Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anwar puji TPM hadiah madu kelulut pada tamu luar

Amalan Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang sering kali menghadiahkan cenderahati produk buatan Malaysia berupa coklat dan madu kelulut kepada tamu luar negara mendapat perhatian Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Beliau memuji Wan Azizah yang juga isterinya itu kerana mengutamakan barangan tempatan berbanding memberikan hadiah produk import mewah.

"Kalau ada tetamu dari luar negara, baru-baru tetamu Arab datang ke rumah saya, hadiah diberi oleh Azizah, madu kelulut dan coklat buatan tempatan.

"Azizah minta mereka, please taste this sambil kata kualitinya, baik untuk kesihatan, kurang gula. Dia orang kata "masya-Allah very good."

"Saya pun tak terfikir macam itu," katanya.

Anwar mendedahkan hal ini ketika berucap pada majlis Forum Pemberdayaan Ekonomi Umat anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC), Seri Kembangan, hari ini.

Menjelaskan lanjut, Anwar berkata Azizah berjaya meyakinkan seorang menteri kehakiman dari Qatar mengenai kualiti madu tempatan, sehingga pemimpin itu membeli 100 botol madu.

"Itu cara Azizah. Bos saya, timbalan perdana menteri sekarang dia boleh buat. 

"Dia menghentikan amalan memberikan barang-barang yang mahal, tidak ada masalah," tambahnya.

Forum tersebut merupakan sebahagian daripada program Halal Fest (Halal Fiesta Malaysia) anjuran Jabatan Perdana Menteri bersama beberapa agensi kerajaan dan syarikat korporat serta NGO.

Lihat Komen
ADS