Imigresen serbu rumah urut tawar seks, tahan 11 wanita asing
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang menahan 11 wanita warga asing yang disyaki berkerja sebagai tukang urut kerana menyalahguna pas lawatan sosial dan tinggal lebih masa, selepas menyerbu empat pusat urut refleksologi dan sebuah pusat hiburan di sekitar Butterworth semalam.
Pengarah JIM Pulau Pinang Muhamad Husni Mahmud berkata dalam serbuan pukul 8.00 malam itu, di salah sebuah pusat berkenaan pihaknya mendapati ada tukang urut dan pelanggan di pusat berkenaan ditemui dalam keadaan bogel di bilik-bilik di situ, dipercayai terlibat dengan kegiatan khidmat seks.
"Kegiatan tidak bermoral itu terbongkar apabila pusat itu diserbu dan ketika itu ada yang cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran kami, namun tidak berjaya kerana premis itu telah dikepung terlebih dahulu," katanya dalam kenyataan, di Butterworth hari ini.
Beliau berkata semua wanita yang berumur antara 20 dan 35 tahun itu terdiri daripada lapan warga Thailand, dua warga Indonesia dan seorang warga Laos, dan menurutnya 30 pelanggan di lima premis berkenaan turut diperiksa dan direkodkan keterangan bagi membantu siasatan.
Muhamad Husni berkata operasi bersepadu itu dijalankan oleh 67 pegawai dan anggota daripada JIM Pulau Pinang, penguat kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan serta Majlis Perbandaran Seberang Perai.
- Bernama

