Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ketua Hakim Negara dahului senarai penerima darjah kebesaran

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat hari ini mengetuai senarai 42 penerima Darjah Kebesaran Persekutuan 2019 daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersempena hari keputeraan rasmi seri paduka.

Pada istiadat pengurniaan hari pertama hari ini, Tengku Maimun, 60, yang dilantik memegang jawatan itu pada 2 Mei lepas menerima Darjah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran Tan Sri.

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke istiadat menghadap dan pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan itu yang berlangsung di Balairung Seri Istana Negara, di Kuala Lumpur.

Tengku Maimun yang merupakan anak jati Kota Bharu, Kelantan mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama memegang jawatan tertinggi badan kehakiman negara.

Turut menerima Darjah PMN ialah Ketua Setiausaha Negara Dr Ismail Bakar dan Panglima Angkatan Tentera Jen Zulkifli Zainal Abidin.

Ismail, 58, dilantik pada 29 Ogos lepas. Lulusan sarjana muda ekonomi dengan kepujian dari Universiti Malaya dan sarjana pentadbiran perniagaan dan doktor falsafah dari University of Hull, United Kingdom itu telah 32 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam serta berpengalaman luas dalam bidang pengurusan ekonomi dan kewangan.

Zulkifli, 60, pula dilantik sebagai panglima Angkatan Tentera Malaysia pada 20 Jun 2018 dan pernah memegang jawatan Panglima Tentera Darat pada 2011.

Pada tahun ini, Agong berkenan mengurniakan darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan kepada 795 individu daripada pelbagai kategori.

Selain tiga tokoh tersebut, istiadat pengurniaan hari pertama hari ini turut menyaksikan 15 individu lain menerima Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang juga membawa gelaran Tan Sri iaitu Yang Dipertua Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, David Wong Dak Wah; Peguam Negara, Tommy Thomas; Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador; dan bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Borhan Dolah.

Turut menerima, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Alwi Ibrahim; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ahmad Badri Mohd Zahir; Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Badariah Arshad; Panglima Tentera Darat Jen Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi; dan Panglima Tentera Laut Laksamana Mohd Reza Mohd Sany.

Penerima lain Darjah PSM ialah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Balia Yusof Wahi; Pengerusi Eksekutif Kumpulan MFDM Holdings Sdn Bhd, Mahamad Fathil Mahmood; Presiden Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) Soh Thian Lai; Presiden dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Tunku Abdul Rahman, Prof Dr Chuah Hean Teik serta Peguam Negara Qatar, Dr Ali Fetais Al-Marri.

Yang di-Pertuan Agong turut mengurniakan Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk kepada 21 penerima iaitu Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri Nor Azri Zulfakar; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Dr Siti Hamisah Tapsir; Peguam Cara Negara II, Datuk Siti Zainab Omar; Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun; Hakim Mahkamah Tinggi Kuching Supang Lian; dan Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru See Mee Chun; serta Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, Dr Abd Latif Mohmod.

Turut menerima Darjah PJN, Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad; Setiausaha SPR, Mohamed Elias Abu Bakar; Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Prof Dr Wahid Razzaly; Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia, Ahmad Asri Abdul Hamid; Timbalan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Akbar Samon.

Selain itu, Ketua Staf Markas Angkatan Tentera, Left Jen Kamalruzaman Mohd Othman; Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Markas Tentera Darat, Left Jen Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan; Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Khairul Anuar Yahya; Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraan Awam, Acryl Sani Abdullah Sani; Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Rosli Ab Rahman; bekas Pakar Perunding Kanan Periodontik Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Dr Ahmad Sharifuddin Mohd Asari; Presiden FAM, Hamidin Mohd Amin; pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif DXN Holdings Bhd, Dr Lim Siow Jin; serta Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma), Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin, juga menerima anugerah daripada Agong.

Pada istiadat pengurniaan hari ini Al-Sultan Abdullah turut mengurniakan Darjah Panglima Setia Diraja (PSD) yang membawa gelaran Datuk kepada Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, Azuan Effendy Zairakithnaini; Duta Besar Malaysia ke Republik Korea, Mohd Ashri Muda; dan Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa Rozainor Ramli.

- Bernama

Lihat Komen
ADS