Hasrat seorang mekanik untuk memiliki kenderaan pacuan empat roda tidak kesampaian apabila Toyota Hilux yang ingin dibelinya pada harga RM20,000 di laman sosial, tidak wujud.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa ialah seorang lelaki berusia 37 tahun dan mendakwa membayar RM17,060 bagi mendapatkan kenderaan itu.
Mangsa mendakwa dia berurusan dengan seorang lelaki berusia 31 tahun berdasarkan maklumat yang tertera pada iklan jual beli kenderaan itu, yang dibacanya di laman sosial pada 14 Ogos lepas.
"Mangsa mendakwa pembayaran dilakukan dengan menggunakan mesin deposit tunai secara berperingkat antara 15 hingga 21 Ogos lalu ke akaun suspek namun tidak dimaklumkan perkembangan urusan jual beli.
"Keadaan itu menyebabkan mangsa meminta pertolongan daripada rakan-rakannya untuk mencari suspek, yang kemudian dijumpai di sebuah rumah di Raub sebelum mangsa datang bersemuka," katanya kepada pemberita di Kuantan, hari ini.
Bagaimanapun kata Mohd Wazir mangsa mendakwa suspek mengugut akan memanggil anggota kongsi gelap untuk mengejarnya apabila diminta memulangkan wang yang telah dibayar.
Susulan itu, katanya, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
- Bernama
