Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada ahli politik terkemuka dalam senarai penerima darjah kebesaran
Diterbitkan:  Sep 9, 2019 3:36 PM
Dikemaskini: 7:57 AM

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini berkenan menganugerahkan darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan kepada seramai 795 individu sempena Hari Keputeraan baginda.

Mendahului senarai penerima pingat Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran Tan Sri adalah Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, Ketua Setiausaha Negara Ismail Bakar dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Zulkifli Zainal Abidin

Antara 15 individu yang dianugerahkan Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM), yang juga membawa gelaran Tan Sri termasuklah Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof, Ketua Hakim Sabah dan Sarawak David Wong, Peguam Negara Tommy Thomas, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dan pegawai lain berpangkat tinggi.

Ketiadaan senarai nama ahli politik terkemuka daripada senarai penghormatan tersebut merupakan trend yang dilihat sejak Februari apabila 200 anugerah diberikan sempena Hari Wilayah Persekutuan 2019, namun hanya seorang ahli politik terkenal berada dalam senarai itu iaitu anggota parlimen Hulu Langat Hasanuddin Mohd Yunus.

Jumlah senarai penerima juga menurun daripada 370 pada tahun yang sama.

Tahun lepas bekas Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V tidak memberi sebarang darjah kebesaran sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda.

Pada tahun 2017 dan 2016 menyaksikan sejumlah besar darjah kebesaran diberikan.

Pada tahun 2017 Sultan Muhammad V berkenan menyampaikan darjah kebesaran kepada 1,518 penerima.

Senarai penerima pada masa itu termasuk ahli politik terkemuka seperti Musa Aman, S Samy Vellu, S Vigneswaran, bekas menteri MCA Michael Chen, bekas anggota parlimen Tebrau Khoo Soo Seang dan bekas naib presiden MCA, Woon See Chin.

Pada tahun 2016, seramai 1,546 individu menerima darjah kebesaran yang dianugerahkan oleh Agong ketika itu, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Ahli politik yang dianugerahkan darjah kebesaran tersebut termasuk Shahrizat Abdul Jalil, Noh Omar, S Nallakaruppan dan Ezam Md Noor.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS