M'sia patut kembang potensi geografi maritim - Timb menteri
Malaysia perlu mengembangkan potensi kedudukan geografi sebagai negara maritim yang memiliki pengaruh strategi di dunia, kata Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong.
"Adakah kita hanya melihat diri kita sebagai negara kecil atau sebagai negara yang memiliki potensi berkembang daripada keadaan sekarang?
“Adakah kita melihat diri kita (Malaysia) sebagai Semenanjung sahaja, dan Sabah dan Sarawak - sempit, melihat kepentingan wilayah semata - atau kita melihat diri kita (Malaysia) sebagai negara maritim?,” Soalnya pada wawancara akhbar New Straits Times hari ini.
Jelas menteri itu, kedudukan geografi Malaysia amat unik untuk membentuk pengaruh yang dinamik di rantau ini.
"Kita (Malaysia) mempunyai dua tanah besar (landmasses) luas di satu sisi, kita mempunyai Selat Melaka, salah satu selat paling penting di dunia.
"Di sisi lain, kita (Malaysia) mempunyai Laut China Selatan, yang boleh dikatakan sebagai hartanah yang paling banyak menimbulkan pertikaian di dunia.
"Dan kita juga berada di penghujung benua Asia-Eropah,” katanya.
Menurut Liew, konteks strategi kedudukan geografi Malaysia ini perlu diteroka.
"(Jadi) kamu segera sedar bahawa Malaysia berada di pusat tumpuan banyak perkara.
"Bagaimana kita mahu menggunakan kelebihan geografi ini? Bagaimana strategi kita," katanya lagi
Timbalan menteri berkata negara perlu membincangkan hal-hal seperti ini.
"Apabila kami bercakap dalam hubungan dengan kedudukan geografi negara, kamu tidak lagi bercakap mengenai Melayu, Cina dan India.
"Kamu perlu berbicara mengenai Malaysia dan seluruh dunia," katanya lagi.
Dalam wawancara bersama NST juga, Liew turut menyentuh persaingan antara Amerika Syarikat dan China serta kesannya terhadap negara.
Menurutnya lagi, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad cuba untuk mencari jalan tengah dalam hal ini.
"Memilih pihak untuk disokong akan memberi akibat-akibatnya, tidak memilih antara keduanya juga akan mendatangkan akibat. Bolehkah kita mencari jalan ketiga?
"Apa yang cuba dilakukan oleh perdana menteri ialah untuk mencari ruang di mana 'saya tidak benar-benar pro-AS, dan saya juga banyak menjalinkan kerja sama dengan China'.
"Mencari ruang itu tidak mudah... tetapi ia adalah sesuatu yang perlu kita lakukan," katanya lagi.

