Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Piagam Umno-PAS bukan bagi bina Harapan palsu'
Diterbitkan:  Sep 10, 2019 12:26 PM
Dikemaskini: 4:30 AM

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa mengingatkan Naib Presiden Amanah Mujahid Yusuf Rawa supaya tidak membazirkan masanya untuk membuat “prejudgement” terhadap piagam Umno-PAS yang bakal dimeterai pada Sabtu 14 September ini.

Katanya, piagam Umno-PAS itu sebenarnya mahu membina sesuatu yang kental dan tulen untuk Malaysia

"Bukan membina Harapan palsu. Semakin hari semakin ketara negara diperintah oleh satu rejim "kakistocracy" (kerajaan atau pemerintahan yang tiada harapan). Kerajaan yang songsang sifatnya.

"Tak usahlah ada pihak yang cuba meramal atau melakar apa yang kami mahu lakukan berdasarkan firasat yang serong.

“Sebagai dua buah parti yang telah melalui pasang surut dan suka duka politik tanah air, Umno dan PAS akan bergabung tenaga secara jujur lagi luhur untuk membawa penyelesaian kepada aspirasi rakyat yang selama ini hampa dan mengecewakan," katanya.

Annuar berkata demikian dalam kenyataan medianya hari ini ketika mengulas tulisan Mujahid yang didakwanya sebagai penuh dengan teka-teki dan cuba meramalkan intipati piagam berkenaan.

"Meneliti tulisan Dr Mujahid Yusuf Rawa, membuatkan saya tertanya-tanya ‘igauan’ apa yang sedang beliau lalui.

"Lebih menganehkan beliau semacam tidak dapat menyembunyikan niat serongnya, apabila beliau cuba membuat “prejudgement” dengan memberi nilaian yang negatif walaupun beliau sendiri ternyata tiada sebarang maklumat mengenai apa itu piagam Umno-PAS.

“Keseluruhan tulisan beliau tersasar jauh apabila cuba membandingkan HPU914 (Himpunan PAS-Umno Sep 14) dengan Majlis Pembentukan Pakatan Harapan (PH) 2019 di Shah Alam,” katanya.

Menurut Annuar, tulisan Mujahid yang juga adalah menteri di Jabatan Perdana Menteri jelas sekali “meraba-raba di dalam kegelapan.”

"HPU914 bukan majlis pembentukan satu Gabungan Parti Alternatif yang baru...belum lagi saudara YB Dr Mujahid. Harap saudara dapat bersabar dan mengawal keresahan saudara," kata ahli parlimen Ketereh itu.

Piagam bersama Umno dan PAS bakal dimeterai pada 14 September ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Ia akan ditandatangani oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Susulannya, Mujahid berkata piagam itu hanyalah sebagai keperluan politik kesepakatan untuk kekal bersaing.

"Cuma harapan saya ialah janganlah kedua-dua parti Melayu ini tertipu dengan ilusi mahukan kuasa dan 'dendam' untuk jatuhkan kerajaan PH menjadi motivasi, lalu memperjudikan nasib agama, bangsa dan negara dengan taktikal politik perkauman dan agama sempit yang akhirnya menenggelamkan bahtera kita semua," kata Mujahid dalam posting di Facebook pada 8 Septembe lalu.

Namun, Annuar membalas bahawa Umno dan PAS bukan parti berusia dua atau tiga tahun.

 

"Umno dan PAS juga bukan serpihan kecil yang desperado mencari gabungan untuk hidup menerusi formula rapuh yang menggadai prinsip, maruah dan harga diri sehingga sanggup bersekongkol, membajai dan menyirami politik yang ternyata menyanggah kepentingan agama, bangsa dan falsafah asas negara.

"Ia kini semakin jelas negara dan rakyat sedang diheret secara songsang menuju kehancuran," katanya.

Lihat Komen
ADS