Malaysiakini BERITA

Tak perlu keseimbangan etnik di bandar, kata menteri

M Fakhrull Halim

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin tidak memandang projek perumahan Raudhahville yang khusus untuk umat Islam sebagai sesuatu yang tidak baik untuk perpaduan kaum di negara ini.

Katanya, walaupun lebih khusus untuk rakyat beragama Islam, projek itu menekankan soal nilai yang universal seperti soal kebersihan dan cara hidup bermasyarakat.

“Rasa tak perlu,” kata Zuraida ringkas ketika ditanya oleh wartawan sama ada perlu diwujudkan peraturan tertentu untuk memastikan keseimbangan etnik di bandar.

Zuraida berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Smart Cities Asia 2019 kali kelima di Pusat Persidangan Kuala Lumpur.

“Walaupun dia (untuk) kelompok Islam, dia ikut nilai Islam yang universal.

“Di situ pun orang bukan Islam ada tinggal juga. Jadi ia okay (tak ada masalah). Saya rasa ia okey,” katanya.

Projek perumahan Raudhahville yang dibina atas tapak seluas 12.10 hektar, merupakan sebahagian daripada Bandar Raudhah, iaitu projek mega antara PKNS dan Raudhah City International Sdn Bhd, di Cyberjaya.

Projek “bandar Islam moden pertama di dunia” bernilai RM12.3 bilion itu mula digagas sejak 2015 lagi.

Bulan lalu, adalah dilaporkan ketua pegawai eksekutif Raudhah City International Sdn Bhd mengalu-alukan orang ramai, termasuk mereka yang bukan beragama Islam supaya menetap di situ.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, ada juga projek perumahan yang mempunyai kuota tertentu.

Mengambil contoh Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bawah kementeriannya, Zuraida berkata PPR mengamalkan kuota kumpulan ekonomi penghuni bagi memastikan mereka dapat hidup dalam persekitaran bersama.

“Rumah PPR tiada (tidak mengamalkan) kuota etnik, tapi ada kuota ekonomi - ada pegawai kerajaan, ada cikgu.

“Saya mahu mereka hidup bersama, supaya rakyat boleh menjadi lebih matang dalam satu perkitaran hidup yang sama,” katanya.

Sementara itu, Bernama memetik Zuraida sebagai berkata kerajaan akan membangunkan lebih banyak projek perumahan bandar pintar di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dalam usaha menjadikan Kuala Lumpur dan bandar lain setanding dengan bandar pintar di negara maju..

Bandar pintar merupakan bandar yang dilengkapi teknologi maklumat dan komunikasi bagi menaik taraf kualiti dan prestasi perkhidmatan di bandar seperti tenaga, pengangkutan dan utiliti untuk mengurangkan penggunaan sumber, pembaziran dan kos keseluruhan.

“Untuk tempoh lima tahun akan datang, kita seharusnya dapat mencapai sekurang-kurangnya 70 ke 75 peratus (indeks bandar pintar) berbanding 52.83 peratus pada masa ini,” katanya kepada pemberita pada program Smart Cities Asia 2019 kelima di Kuala Lumpur, hari ini.

Motion Index IESE Cities menyaksikan London berada pada kedudukan teratas sebagai bandar paling pintar dunia dengan skor 100 peratus, diikuti New York di tempat kedua dengan skor 94.63 peratus, manakala Kuala Lumpur menduduki tempat ke-100 dengan 52.83 peratus.

Indeks itu dikeluarkan IESE Business School, University of Navarra, Sepanyol untuk memberi penilaian terhadap bandar yang berkaitan sembilan dimensi utama, antaranya modal insan, kesepaduan sosial, ekonomi dan tadbir urus.

Zuraida berkata, London misalnya merupakan bandaraya maju dan sehubungan itu pencapaiannya sebagai bandar maju adalah lebih hebat.

“Kita juga sedang menuju ke arah itu. Kita mahu menjadi lebih digital, menggunakan lebih banyak lampu diod pemancar cahaya (LED), menggunakan pengurusan data, meningkatkan kelajuan wifi dan mengurangkan trafik,” kata Zuraida.

Sementara itu, ditanya mengenai peruntukan kepada kementerian berkenaan bagi belanjawan akan datang, Zuraida berkata perkara itu belum dimuktamadkan.

Terdahulu, pada majlis yang sama, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) berkata kerajaan akan melancarkan Majlis Bandar Pintar di bawah Rangka Kerja Pembangunan Bandar Pintar Malaysia 2018-2025 menjelang akhir tahun ini.

Rangka kerja itu mengadakan syor atau cadangan kepada 13 ketua menteri dan menteri besar ke arah mewujudkan bandar pintar yang sesuai didiami, boleh kerja dan mampan.

Majlis tersebut menggariskan 78 penunjuk di bawah rangka kerja berkenaan.