Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Sambutan Hari Malaysia terjemah konsep 'Malaysia'

Penglibatan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai budaya, agama dan bangsa dalam meraikan sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept ini, disifatkan cerminan dalam menterjemahkan konsep ‘Malaysia’ itu sendiri.

Timbalan Pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata rakyat negara ini perlu meraikan sambutan Hari Malaysia dengan satu semangat untuk mendorong mereka supaya sentiasa mengingati sejarah bagaimana Malaysia itu 'dilahirkan'.

“Rakyat Malaysia perlu meraikan Hari Malaysia supaya kita terus mengingati sejarah negara sama ada melibatkan sudut politik, sosioekonomi dan sosial yang sememangnya berbeza.

“Konsep Persekutuan yang menjadi tunjang negara ini penting untuk difahami agar tidak timbul atau berlakunya konsep negara dalam negara, pemahaman sempit atau etnosentrik atau etnonasionalisme melampau-lampau sehingga akhirnya menggugat serta memberikan ancaman kepada tanah air kita,” katanya kepada Bernama di Shah Alam.

Awang Azman yang juga penganalisis sosiopolitik berkata tanpa sambutan Hari Malaysia, rakyat negara ini mungkin kurang menyedari atau tidak mengetahui sejarah pembentukan Malaysia.

Beliau berkata pembentukan Malaysia merupakan detik bersejarah kerana ia merupakan kayu pengukur kepada situasi perubahan negara yang mana sekiranya tidak berlaku, keadaan negara tidak akan sama seperti hari ini.

Jelasnya, Hari Malaysia juga seharusnya membawa erti yang signifikan kepada rakyat Malaysia tidak kira di Semenanjung, Sabah ataupun Sarawak.

Katanya, menerusi pembentukan Malaysia, pemimpin dan rakyat di ketiga-tiga wilayah (Semenanjung, Sabah, Sarawak) tersebut bersetuju untuk hidup bersama sebagai sebuah negara dan bangsa.

“Hari Malaysia ialah hari memperingati pembentukan Malaysia apabila persekutuan Tanah Melayu, Sarawak, Borneo Utara (Sabah) dan Singapura disatukan sebelum Singapura kemudian menarik diri dari Malaysia.

“Tanpa sambutan Hari Malaysia, pastinya ramai yang akan kurang menyedari kepentingan hari tersebut dalam sejarah pembentukan negara ini, yang seharusnya diingati sampai bila-bila,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS