Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan tahap sangat tidak sihat di Johan Setia di Klang manakala 20 kawasan lain di seluruh negara mencatat bacaan IPU tidak sihat pagi ini.
Menurut bacaan IPU Jabatan Alam Sekitar pada jam 9 pagi tadi, Johan Setia di Klang, Selangor mencatatkan bacaan 208.
Kawasan itu merekodkan bacaan tidak sihat sejak semalam. Bacaan IPU turun sedikit ke tahap tidak sihat antara 101-200 dari jam 7 pagi hingga tengah hari sebelum naik semula ke paras 200.
Sementara itu, 20 kawasan yang mencatatkan tahap tidak sihat adalah - Seberang Jaya (104), Minden (110) dan Balik Pulau (112) di Pulau Pinang; Tasek Ipoh (116) dan Seri Manjung (122) di Perak; Sungai Petani (107) dan Kulim Hi-Tech (105) di Kedah; Batu Muda (151) dan Cheras (142) di Kuala Lumpur; Putrajaya (139); Kuala Selangor (106), Petaling Jaya (137), Shah Alam (134), Klang (126) dan Banting (123) di Selangor; Nilai (125) dan Seremban (102) di Negeri Sembilan; Bandaraya Melaka (102) di Melaka; Tangkak (131) di Johor dan Rompin (153) di Pahang.
Sementara itu, Sabah, Sarawak dan Labuan di Malaysia Timur mencatatkan bacaan sihat pada jam 9 pagi ini.
Menurut Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC), "titik panas" dikesan di Sumatera dan Kalimantan di Indonesia dalam beberapa minggu yang lalu.
"Sepanjang dua minggu yang lalu antara 29 Ogos dan 12 Sept, 2019, kawasan panas yang luas telah dikesan di banyak bahagian Kalimantan, serta Sumatera tengah dan selatan.
"Titik panas terpencil juga dikesan di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah beberapa hari," katanya.
Pada jam 7.36 malam tadi, ASMC menyatakan jerebu yang berasal dari kawasan panas di Sumatera tengah dan selatan "telah merebak untuk menjejaskan bahagian Semenanjung Malaysia dan Singapura".
Pusat itu menambah keadaan jerebu di negara ini dijangka berterusan.
Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyatakan kebimbangan mengenai keadaan udara yang tidak sihat di negara ini.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin semalam, baginda menggesa rakyat Malaysia untuk mengurangkan aktiviti luar, terutama yang memiliki penyakit kronik.
Baginda juga memberi amaran agar semua pihak mengelakkan aktiviti pembakaran terbuka.
“Baginda bertitah rakyat jelata banyakkan minum air, di samping peka dengan tahap kesihatan masing-masing dan mendapatkan rawatan segera jika tidak sihat," katanya.
