Khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menekankan umat Islam agar memelihara keamanan dan perpaduan sebelum Hari Malaysia tiba.

Menurut mimbar, Hari Malaysia pada 16 September ini amat menggalakkan umat Islam saling bersatu padu dan bekerjasama, sama ada sesama Islam atau dengan bukan Islam.

“Tanpa kerjasama, toleransi dan saling bersatu padu antara kaum, negara kita akan berada dalam kemunduran dan berlaku pergolakan yang berterusan sehingga boleh mengganggu gugat kesejahteraan Negara.

“Ini menunjukkan betapa pentingnya rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, kaum dan agama saling memahami dan hormat menghormati serta bersatu padu demi membentuk negara bangsa yang maju dan aman damai,” kata khutbah.

Sementara itu, khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menegaskan umat Islam menyemai dan menyuburkan sikap berkasih sayang dalam kalangan warganegara khususnya sesama Muslim.