Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata penyatuan ummah atau kerjasama antara Umno dan PAS adalah selaras dengan kehendak bekas Mursyidul AM PAS, Almarhum Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tuan Ibrahim yang juga anak saudara kepada bekas menteri besar Kelantan itu berkata, beliau cukup mengenali keinginan arwah Nik Aziz.

"Andai Almarhum Tok Guru Nik Aziz masih ada, saya sangat mengenali beliau (Nik Aziz) dari kecil sampai ke tua, yang kebetulan bapa saudara (saya).

"Beliau sering kali menyebut soal perlunya umat Islam mencari jalan menyatukan umat Islam...kena cari jalan (satukan umat Islam)," katanya ketika berucap pada ceramah Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, malam ini.

Kira-kira 3,000 hadir acara itu.

Hadir sama pada ceramah itu Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dan dua naib presiden Umno dan PAS iaitu, Ismail Sabri Yaakob dan Idris Ahmad.

PAS dan Umno menjalinkan kerjasama selepas BN tewas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

Melalui Himpunan Penyatuan Ummah, esok PAS dan Umno akan memeterai piagam kerjasama mereka.

Ia sekaligus menjadikan "taawun siyasi" antara Umno dan PAS berlangsung secara rasminya.

Nik Aziz ketika hayatnya dilihat antara pemimpin PAS yang lantang menentang sebarang bentuk kerjasama antara parti itu dan Umno.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim memberi jaminan agihan kerusi tidak akan menjadi masalah selepas Umno dan PAS menjalinkan kerjasama secara rasmi.

"Orang kata, Umno dan PAS akan berpecah bila membabitkan isu agihan kerusi.

"Tetapi ingin kita tegaskan bahawa isu kerusi bukan masalah bagi PAS dan Umno," katanya.

Tuan Ibrahim turut memberi jaminan bahawa kerjasama antara dua parti itu tidak akan mengabaikan kaum-kaum lain di negara ini.

Malah katanya, jika kaum Melayu sebagai majoriti di negara ini hidup dalam suasan aman dan selesa, kaum lain juga akan turut menikmatinya.

Lihat Komen
ADS