Perkhidmatan kesihatan luar bandar akan diberi keutamaan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Sebanyak RM2.027 bilion diperuntukkan sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) untuk tujuan tersebut, dua kali ganda lebih besar daripada yang disediakan di bawah Rancangan Malaysia Kelapan (RMK8)

Jumlah itu merangkumi 20 peratus daripada seluruh perbelanjaan untuk sektor kesihatan sepanjang tempoh tersebut.

Mengikut laporan RMK9 yang dikeluarkan hari ini, tiga negeri, Terengganu, Sabah dan Sarawak dikenalpasti jauh ketinggalan jika dinilai dari aspek nisbah doktor dengan penduduk.

RMK9 juga menggariskan beberapa strategi untuk membaiki perkhidmatan kesihatan di luar bandar:

* Perkhidmatan "teleperubatan" akan ditingkatkan bagi membolehkan penduduk terutamanya di Sabah dan Sarawak mendapat perkhidmatan doktor pakar.

* Meneruskan program "bekalan air dan persekitaran sihat" di mana kemudahan tandas, air bersih, pembentungan sempurna, dan pelupusan sisa toksik akan dikembangkan di kalangan penduduk desa.

* Skim Pembiayaan Kesihatan akan dilaksanakan sebagai satu cara membolehkan orang ramai mendapatkan rawatan kesihatan yang terbaik.

* Akta Perubatan Alternatif dan Tradisional akan dilaksanakan dalam RMK9 bagi mengawalselia pengamal-pengamal perubatan alternatif.

* Dasar Ubat Nasional akan digubal bagi memboleh rakyat mendapatkan maklumat secukupnya mengenai ubat-ubatan.

* Lembaga Etika Nasional akan ditubuhkan untuk mengawasi pematuhan standard dan prinsip rawatan dan penyelidikan.

* Perkhidmatan ambulan akan ditingkatkan dan lebih banyak pusat ambulan akan dibuka.