Satu kawasan di Sarawak mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) berbahaya apabila Sri Aman merekodkan bacaan 367 setakat 9 pagi ini.

Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat 9 pagi ini, Kuching juga masih mencatat IPU pada tahap sangat tidak sihat dengan bacaan 220.

Turut mencatatkan bacaan sangat tidak sihat ialah Johan Setia Klang, di Selangor iaitu 233 serta dua kawasan di Negeri Sembilan iaitu Nilai (203) dan Port Dickson (212).

Selain itu, sebanyak 28 kawasan merekodkan bacaan tidak sihat di seluruh negara dengan IPU melebihi 101 iaitu Sri Manjung, Perak (183), dua kawasan di Kuala Lumpur iaitu Batu Muda (157) dan Cheras (148) dan Putrajaya (181).

Turut mencatat bacaan tidak sihat ialah lima kawasan di Selangor iaitu Petaling Jaya (161), Shah Alam (172), Klang (194), Banting (176) dan Kuala Selangor (176); tiga kawasan di Melaka iaitu Alor Gajah (180), Bukit Rambai (194) dan Bandaraya Melaka (169) serta Seremban di Negeri Sembilan (176).

Selain itu, satu stesen di Perak iaitu Seri Manjung (183); Temerloh (137), Jerantut (112) dan Indera Mahkota Kuantan (119) di Pahang; Segamat (148), Batu Pahat (113) dan Kluang (110) di Johor turut merekodkan bacaan tidak sihat.

Lapan kawasan di Sarawak yang mencatatkan IPU tidak sihat ialah ILP Miri (106), Miri (126), Samalaju (123), Bintulu (129), Mukah (141), Sibu (168), Sarikei (149) dan Samarahan (159).

Sementara itu, 32 kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak mencatatkan IPU sederhana.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Bernama turut melaporkan sebanyak 298 sekolah di lapan daerah di Sarawak di tutup hari ini akibat jerebu dengan Sri Aman merekodkan kualiti udara tahap bahaya.

Jabatan Pendidikan Negeri dalam kenyataan berkata ia melibatkan 53 sekolah menengah dan 245 sekolah rendah di Betong, Bau, Kuching, Lubok Antu, Padawan, Samarahan, Sri Aman dan Lundu.

Seramai 128,291 pelajar terjejas akibat penutupan sekolah hari ini, menurut kenyataan berkenaan.

Kualiti udara di Sri Aman mencapai tahap bahaya secara mendadak dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 352 pada 6 pagi dan meningkat kepada 365 dua jam kemudian berbanding 214 yang direkodkan pada 12 tengah malam, semalam.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak, Mejar Ismail Mahedin dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri berkata setakat 8 pagi, Kuching mencatatkan bacaan IPU sangat tidak sihat iaitu 219, berbanding 215, dua jam sebelumnya.

Katanya lapan daerah kekal mencatatkan bacaan IPU tidak Sihat iaitu Samarahan (160), Sarikei (148), Sibu (166), Bintulu (129), Mukah (140), Samalaju (113), ILP Miri (107) dan Miri (126).

- Bernama