Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Khazanah perlu kembali ke perniagaan teras
Diterbitkan:  Sep 17, 2019 11:44 AM
Dikemaskini: 3:44 AM

Khazanah Nasional Bhd telah terkeluar daripada perniagaan teras mereka dengan melabur dalam terlalu banyak perkara, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

"Idea asalnya adalah Khazanah hanya perlu membeli saham yang belum diambil (taken up)...tetapi kini mereka telah melabur dalam banyak perkara.

"Mereka patut lepaskan apa yang di luar perniagaan teras mereka," katanya dalam wawancara bersama radio BFM hari ini.

Khazanah adalah syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLC) yang ditubuhkan pada 1993, iaitu ketika kali pertama Mahathir sebagai perdana menteri.

Memandangkan ia adalah GLC, Mahathir berkata kerajaan juga akan mendapat manfaat daripada penjualan saham aset oleh Khazanah dalam mana-mana bidang yang bukan sebahagian perniagaan terasnya.

Ketika ditanya tentang kebimbangan GLC semakin terlibat dalam sektor swasta, beliau berkata ia tidak akan berlaku selagi GLC kekal dengan perniagaan teras mereka.

"Ia berlaku kerana mereka tidak mengekalkan perniagaan teras yang mereka sepatutnya terlibat," katanya lagi.

Mutakhir ini Khazanah melepaskan pegangannya dalam banyak syarikat, antaranya menjual 16 peratus saham dalam IHH Healthcare kepada Mitsui & Co dengan nilai RM8.42 bilion pada November 2018.

Akhir Julai lalu, usahasama syarikat itu dengan syarikat pelaburan Singapura, Temasek, juga mengumumkan akan menjual pejabat dan unit runcit dalam pembangunan hartanah di Singapura.

Dalam wawancara itu, perdana menteri juga ditanya berkenaan kemelesetan ekonomi yang mungkin akan berlaku dan bagaimana negara merancang untuk menghadapinya.

Negara ini jika diuruskan dengan baik boleh mengelak daripada kemelesetan. Kita pernah diserang sebelum ini dan keluar daripadanya.

"Kami merasakan kami ada orang yang amat sedar dengan perkara ini (dan) tahu beberapa cara untuk mengelak kemerosotan dalam ekonomi," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS