BERITA Malaysiakini

Khazanah jual Pusat Perubatan Prince Court RM1.02 bilion tunai

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Khazanah Nasional Berhad mengumumkan hari ini akan menjual Pusat Perubatan Prince Court (PCMC) di Kuala Lumpur pada nilai RM1.02 bilion secara tunai.

Jualan itu berlaku selepas setahun Khazanah membeli hospital berkenaan daripada Petronas.

Menurut pengumuman Bursa Malaysia hari ini, nilai pelaburan Khazanah dalam hospital itu melalui anak syarikatnya Pulau Memutik Ventures Sdn Bhd adalah sebanyak RM1.086 bilion.

Petronas mengalami kerugian tahunan sebelum Khazanah membeli hospital itu, yang digambarkan memiliki “bilik-bilik mewah ala hotel”, pada tahun lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Khazanah berkata Pulau Memutik Ventures Sdn Bhd mencapai persetujuan pembelian saham dengan Pantai Holdings Sdn Bhd untuk melupuskan 100 peratus kepentingan terhadap hospital itu.

Pantai Holdings Sdn Bhd dimiliki sepenuhnya oleh IHH Healthcare Berhad.

“PCMC dimiliki secara strategik oleh Khazanah pada 2018, bagi membina sektor perkhidmatan kesihatan di Malaysia dan untuk mempromosikan Kuala Lumpur sebagai destinasi pilihan untuk perkhidmatan kesihatan berkualiti di rantau ini.

“Memandangkan perubahan terbaru dalam mandat Khazanah baru-baru ini, keputusan diambil untuk menjual PCMC kepada IHH, iaitu platform penjagaan kesihatan Khazanah,” katanya.

Kata Khazanah, pembelian itu membolehkan PCMC mendapat kelebihan daripada rangkaian global IHH yang luas, selain akan memberikan kecairan untuk pelaburan modal yang diperlukan pada masa depan.

Khazanah turut menyuarakan keyakinan bahawa PCMC akan memperoleh manfaat daripada pengalaman luas IHH dalam menyediakan penjagaan perkhidmatan premium di samping mengukuhkan kedudukan IHH sebagai penyedia penjagaan kesihatan utama di Malaysia.

Menurut pengarah urusan Khazanah, Shahril Ridza Ridzuan dalam satu kenyataan hari ini, Khazanah akan kekal sebagai pemegang saham yang penting dengan 26.04 peratus pegangan saham.

Penjualan itu tertakluk kepada kelulusan pemegang saham lain dan pihak berkuasa yang berkaitan.

Tahun lalu, Khazanah menjual 16 peratus saham dalam IHH kepada Japan's Mitsui & Co Ltd pada nilai RM8.42 bilion.

Ia sekali gus menjadikan Mitsui sebagai pemegang saham terbesar IHH dengan hampir 33 peratus saham. 

Pegangan Khazanah dikurangkan menjadi 26 peratus selepas itu.