Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sebanyak 99 sekolah lagi di daerah Petaling Perdana, Kuala Selangor, Gombak dan Petaling Utama ditutup, menjadikan sekolah jumlah ditutup di Selangor hari ini ialah 214 sekolah.

Dalam kenyataan pagi ini, Kementerian Pendidikan (KPM) berkata penutupan itu dibuat susulan bacaan ideks pencemaran udara (IPU) di kawasan itu melebihi 200, iaitu pada tahap sangat tidak sihat, bermula 12 tengah malam tadi.

”Penambahan 99 sekolah daripada 115 buah sekolah, dibuat berdasarkan bacaan IPU di stesen Shah Alam. Ini menjadikan jumlah pelajar yang terlibat dalam penutupan sekolah seramai 231,921 orang,” menurut kenyataan itu.

Katanya, sebarang perubahan atau maklumat terbaharu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Dalam kenyataan KPM malam tadi, sebanyak 115 sekolah di daerah Sepang, Hulu Langat, Kuala Langat, Klang dan Sabak Bernam ditutup pagi ini, susulan keadaan jerebu yang serius di kawasan berkenaan.

Sementara itu, menurut laman web Jabatan Alam Sekitar setakat pukul 7 pagi ini, bacaan IPU di Shah Alam adalah 219, Petaling Jaya (202), Klang (202) dan Banting (187).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Sementara itu di Perak, sebanyak 265 sekolah di daerah Manjung, Bagan Datuk, Hilir Perak dan Perak Tengah turut ditutup pagi ini.

Jumlah sekolah yang ditutup di Perak setakat pagi ini ialah 288 sekolah.

Pengarah Pendidikan Perak Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali berkata kesemua sekolah itu ditutup hari ini susulan bacaan IPU mencecah 202 pada jam 5 pagi tadi.

“Penambahan sebanyak 265 sekolah hari ini dibuat berdasarkan bacaan IPU di stesen Seri Manjung.

“Seri Manjung hari ini mencatatkan trend bacaan IPU yang meningkat sejak pukul 3 pagi tadi iaitu 206 namun ia berkurangan kepada 197 setakat 7 pagi ini,” katanya ketika dihubungi Bernama di Ipoh hari ini.

Semalam, sebanyak 23 sekolah di daerah Manjung dan Hilir Perak ditutup berikutan bacaan IPU mencapai tahap tidak sihat.

- Bernama

Lihat Komen
ADS