Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN | Mungkin kita terlalu kejam untuk mengatakan bahawa tidak ada apa lagi yang perlu dirawat kerana perpaduan kita sudah lama goyah.

Maka, yang perlu kita lakukan hanyalah berpeluk tubuh, goyang kaki sambil menyaksikan masyarakat kita berkelahi sana sini kerana berbeza bangsa dan budaya.

Pada 16 Sept lalu kita menyambut Hari Malaysia sebagai memperingati detik pembentukan ngeara ini pada 1963 lalu. 

Penuh Dataran Merdeka dengan manusia yang mungkin datang dari segenap arah. 

Ia bermula melalui program Kereta Api Sarong 19 yang dianjurkan oleh sebuah komuniti sosial, Locco Malaysia, dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Orang ramai berkumpul di stesen kereta api terpilih sebelum beramai-ramai ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. 

Orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazandusun, Bajau dan ramai lagi, semuanya ada di situ.

Berpakaian bukan seperti hari biasa. Berbaju kurung, bersarung batik, memakai cheongsam, sari, pakaian warisan negeri masing-masing, serta ada yang memakai pakaian etnik lengkap dari Sabah dan Sarawak. 

Senang kata, semua yang menunjukkan warisan dan bangsa Malaysia ada di situ.

Tidak cukup dengan itu, tanpa mengira kaum, masing-masing ikut serta ketika persembahan tarian yang merangkumi seluruh budaya di Malaysia.

Sebar kebaikan pada semua

Jika benar perpaduan dalam kalangan masyarakat kita sudah tipis, kejadian apa yang berlaku itu? Wayang semata-mata? Tidak. Orang kita tidak akan berlakon dalam keadaan yang panas dan berjerebu begitu.

Namun dua ‘seksaan’ pada 16 Sept itu tidak diambil kisah pun. Yang penting, sama-sama meraihkan hari bersejarah negara.

Saya tertarik dengan suatu kumpulan yang turut serta ketika acara Kereta Api Sarong 19 yang dinamakan Gerakan Sosial Suspended Meal.

Penglibatan gerakan ini adalah terdiri dalam kalangan belia. Ia merupakan agenda nasional untuk membentuk sahsiah golongan belia yang peduli terhadap masyarakat tempatan mahupun luar.

Mereka juga adalah badan untuk meningkatkan kesedaran kepada masyarakat mengenai isu-isu sosial, menawarkan bantuan kemanusiaan dan menyebarkan kebaikan kepada seluruh kelompok masyarakat.

Terlalu banyak aktiviti sosial dan masyarakat yang mereka lakukan. Dan kali ini, mereka tampil dengan inisiatif dengan memberi sumbangan kek cawan kepada setiap seorang yang hadir ke sambutan itu.

Seperti manisnya kek yang diberi dengan pelekat bendera Selamat Hari Malaysia, seperti itulah manisnya sumbangan mereka kepada masyarakat tanpa mengira kaum dan bangsa.

Saya bertemu dengan pengasas Suspended Meal yang juga pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, Shafezah Abdul Wahab. 

Katanya, mereka tidak mengharapkan apa-apa namun hanya sekadar ingin mendekatkan diri dengan masyarakat.

"Kami tak mengharapkan apa-apa, cuma, dalam setiap program, kami mahu dekatkan diri dengan masyarakat. 

"Maknanya, di sinilah kami ingin berhubung dengan lebih rapat bersama masyarakat. Jadi kami beri sumbanganlah," katanya.

Ada dalam diri semua

Menurut Shafezah, Suspended Meal mahu menanamkan keyakinan kepada setiap orang bahawa manusia mampu melakukan perubahan. 

Katanya, mereka berhasrat menyebarkan kebaikan kepada seluruh kelompok masyarakat.

"Jadi, simbolik kepada hari Malaysia, kita beri cupcake yang ada lambang bendera Malaysia. 

"Kalau nak bagi makan untuk tingkatkan perpaduan itu tidaklah, ini hanyalah apa yang kami ingin berbakti kepada masyarakat setempat untuk bersama dengan mereka, tak kira bangsa, tak kira agama," katanya.

Kita harus menghargai usaha gerakan kecil itu kerana di saat kita merasakan perpaduan itu mulai pudar, namun, masih ada yang sedar dan prihatin akan keadaan masyarakat kita – Malaysia.

Acap kali kita disentak dengan cerita bahawa isu perkauman kita semakin kritikal, sudah tidak ada persefahaman sesama kita dan macam-macam lagi. 

Hakikatnya, peristiwa semalam itu membuatkan kita terfikir bahawa perpaduan itu masih ada dalam diri kita semua.

Benar, untuk memupuk perpaduan itu bukan perkara yang mudah. Kerana provokasi itu sentiasa ada. 

Namun, ia bergantung kepada diri kita sendiri untuk tidak terus melatah di media sosial. Jika itu yang berlaku, maka tularlah ia.

Perpaduan harus sentiasa dijaga dan digilap agar sinarnya terus memancar. Perpaduan bukan setakat kita tahu jenis makanan, tarian ataupun bahasa dari kaum-kaum yang lain - tetapi perpaduan ini adalah bagaimana kita sentiasa berusaha untuk memastikan keharmonian dan keamanan itu ada.

Kita perlu menanam sifat patriotik dan perpaduan dalam apa cara sekalipun. 

Usaha yang kita ada tidak semestinya apabila tiba Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia barulah kita tahu apa itu perpaduan dan semangat partiotisme.

Tidak kiralah sama ada usaha itu kecil mahu pun besar, ia tetap satu usaha asalkan ia berterusan dan mampu mendidik masyarakat setempat.


FADHLI SULAIMAN ialah anak jati Sabah daripada suku kaum Bajau, Semporna dan merupakan wartawan pelatih Malaysiakini.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS