Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penjawat awam didenda RM1000 kerana merokok di kawasan hospital

Seorang penjawat awam wanita didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur, hari ini kerana merokok dalam kawasan Hospital Kuala Lumpur, Disember lepas.

Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu ke atas S. Sri Vithia, 29, yang merupakan orang kena saman (OKS), selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Mahkamah turut memerintahkan wanita itu menjalani hukuman penjara dua minggu sekiranya gagal membayar denda. Dia membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, Sri Vithia didakwa merokok di tangga aras 3, Blok Utama, Hospital Kuala Lumpur, di Kuala Lumpur yang merupakan suatu tempat dilarang merokok di bawah Peraturan 11(1)(h) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 pada 8.40 malam, 7 Dis tahun lepas.

Dia yang memakai kemeja merah dituduh mengikut Peraturan 11(3), Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih dari dua tahun.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa dari Pejabat Kesihatan Titiwangsa Shumizan Siron memohon hukuman setimpal manakala Sri Vithia yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan menanggung adiknya yang masih belajar.

- Bernama

Lihat Komen
ADS