Paling Popular
Terkini

Presiden PKR Anwar Ibrahim menyifatkan keadaan jerebu yang menyelubungi Asia Tenggara sebagai "peperangan ekologi."

Dalam temu bual dengan Bloomberg TV hari ini, Anwar menggesa agar syarikat-syarikat besar yang terlibat dalam kebakaran hutan di Indonesia yang menyebabkan jerebu dipertanggungjawabkan.

"Kita harus berasa marah dan saya menganggap ini sebagai peperangan ekologi, bukan perkara kecil, ia menjejaskan jutaan rakyat kita.

"Kita perlu menjadi lebih kuat, tidak kira sama ada Malaysia, Singapura atau Indonesia - maksud saya mereka ini adalah syarikat besar.

"Mengapa kita tidak memastikan mereka bertanggungjawab dan sekurang-kurangnya menanggung kos," katanya.

Semalam, Presiden Indonesia Joko Widodo dalam kenyataan di Facebook menyatakan rasa kesal kerana menurutnya kebakaran berkenaan dapat dicegah dari awal oleh jentera kerajaan.

Kerajaan Indonesia sebelum ini menamakan empat syarikat minyak kelapa sawit yang mempunyai hubungan dengan Malaysia sebagai penyebab kebakaran hutan di negara itu.

Berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang kritikal pagi ini, kira-kira 538 buah sekolah di Selangor telah diarah ditutup. Sementara sebanyak 288 sekolah di Perak dan semua sekolah di Putrajaya turut diarah ditutup.

Seramai 584,595 pelajar terjejas dengan penutupan sekolah-sekolah berkenaan.

Lihat Komen
ADS