Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Dua chalet, restoran di Tioman musnah dalam kebakaran
Diterbitkan:  Sep 18, 2019 4:05 PM
Dikemaskini: 9:27 AM

Dua buah chalet dan sebuah restoran di Berjaya Tioman Resort di Pulau Tioman, Rompin,, musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Pengurus resort, Charles Eman berkata, kebakaran disedari berlaku sekitar jam 2 pagi dari salah sebuah bilik sebelum merebak ke restoran yang terletak bersebelahan.

"Bagaimanapun, kami bersyukur kerana tetamu yang menginap di dua bilik tersebut dapat keluar sebelum api marak dan kini dipindahkan ke bilik baharu yang jauh dari kawasan yang terlibat.

"Kami juga telah memindahkan tetamu di bilik berhampiran ke bilik lain sebagai langkah keselamatan dan untuk keselesaan mereka di sini," katanya semasa dihubungi Bernama di sini.

Charles berkata api merebak agak cepat berkemungkinan kerana binaan diperbuat daripada kayu, namun tindakan pantas kakitangan yang pernah mengikuti latihan kebakaran membantu mereka untuk tidak panik.

Katanya, selain mengosongkan bilik berhampiran lokasi kebakaran, kakitangan turut mengeluarkan semua tong gas masakan dari restoran dan meletakkannya ke kawasan selamat bagi mengelakkan perkara lebih buruk daripada terjadi.

"Kami juga berusaha memadamkan api dengan menggunakan alat pemadam api sementara menunggu ketibaan bomba. Walaupun api berjaya dipadamkan pada jam 11 pagi, kami masih bergilir-gilir berada di lokasi kejadian,” katanya.

Charles memaklumkan terdapat 260 kakitangan di situ dan mereka diwajibkan mengikuti latihan kebakaran dan latihan tsunami sebagai persediaan menghadapi kemungkinan berlaku bencana itu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Nor Hisham Mohammad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.45 pagi dan operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela Pulau Tioman.

"Kebakaran dapat dikawal pada jam 8.15 pagi sebelum operasi ditamatkan pada 11.30 pagi. Bagaimanapun, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS