Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
M'sia kena tempias perang dagang Trump
Diterbitkan:  Sep 18, 2019 6:02 PM
Dikemaskini: 11:00 AM

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad akan ke New York hujung bulan ini untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Delegasi Malaysia dijangka akan mengadakan berbagai mesyuarat pada sisi perhimpunan tahunan PBB itu bagi mengajukan kepentingan negara.

Bagaimanapun, penghalang antara Malaysia dan Amerika Syarikat adalah aduan Washington mengenai defisit dagangan dengan Malaysia.

Ini bermaksud AS lebih banyak membeli sebahagian besar barangan dari Malaysia berbanding yang dibeli Malaysia dari AS.

Tidak jelas sekiranya delegasi Malaysia ke PBB kali ini akan bertemu para pegawai AS bagi berbincang mengenai hubungan dagang tetapi jika ada pertemuan sedemikian, delegasi negara berharap akan mendapat layanan lebih baik berbanding apa yang diterima mereka dalam misi perdagangan ke AS pada April lalu.

Misi perdagangan selama enam hari ke AS oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darell Leiking dipuji sebagai berjaya dengan potensi pelaburan daripada para pelabur AS tetapi mesyuarat dengan Perwakilan Perdagangan AS Robert Lighthizer meninggalkan rasa pahit.

Pada akhir pertemuan itu, delegasi Malaysia mendapati Lighthizer berkelakuan "tidak sopan, kasar dan tidak beradab," kata pihak yang akrab dengan perkara itu kepada Malaysiakini.

Mereka menjelaskan kelewatan delegasi Malaysia selama 15 minit kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan juga tidak membantu.

Sumber itu berkata walaupun Lighthizer memuji kerajaan baru kerana 'menggantung' beberapa rundingan dengan China yang disyaki terlibat rasuah, beliau menegaskan rundingan tersebut tidak patut diteruskan.

Lighthizer dikatakan meremehkan penjelasan Leiking bahawa penamatan kontrak itu sama sekali akan mempunyai implikasi kewangan yang serius kepada Malaysia dan rundingan semula membuahkan beberapa konsesi untuk negara ini.

Walaupun Malaysia telah menamatkan projek saluran paip gas yang diberikan kepada syarikat-syarikat China, ia memulakan semula projek Projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang dibiayai oleh Beijing sekitar dua minggu selepas mesyuarat dengan AS, selepas mendapat penjimatan kos sebanyak RM21.5 bilion.

Sumber berkata daripada perbincangan mengenai hal berkenaan, mesyuarat itu menjadi bertambah teruk apabila Lighthizer secara kasar mempersoalkan Malaysia dalam beberapa isu termasuklah peraturan Bank Negara Malaysia yang melarang syarikat asing untuk memiliki lebih daripada 70 peratus pegangan dalam syarikat insurans di Malaysia, dengan itu memerlukan pemilik asing dengan pegangan penuh untuk melepaskan 30 peratus kepentingan mereka.

Skim MySalam

Kerajaan baru telah menyediakan syarikat insurans dengan alternatif, yang memerlukan mereka menyumbang nilai setara 30 peratus kepentingan ke dalam dana kesihatan untuk menyediakan insurans hayat percuma kepada golongan berpendapatan rendah, yang dikenali di Malaysia sebagai Skim MySalam.

Ini telah dimaklumkan kepada Lighthizer, yang menolak alternatif itu sebagai "shakedown".

Sumber itu berkata Lighthizer kemudian secara menyindir dan berulang kali menyoal delegasi Malaysia jika mereka faham makna perkataan "shakedown" dan mengancam untuk bertindak balas.

Mereka berkata Lighthizer turut membangkitkan mengenai defisit perdagangan dengan Malaysia tetapi tidak berminat apabila Malaysia menjelaskan justifikasi kepadanya.

Satu kenyataan bertulis kerajaan di Dewan Rakyat pada 2017 membantah dakwaan AS mengenai defisit perdagangan bernilai AS$ 25 bilion dengan Malaysia, dengan Putrajaya meletakkannya lebih dekat kepada AS$ 5 bilion.

Kerajaan mengatakan data yang meningkat adalah disebabkan perakaunan AS untuk data perdagangan melalui pihak ketiga, seperti eksport ke Amerika Syarikat melalui Singapura yang dikira sebagai import dari Malaysia dan bukannya Singapura.

'Kelakuan mereka bukan urusan kami'

Sumber Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) yang dekat dengan Leiking berkata, menteri itu menyatakan matlamat delegasi Malaysia adalah untuk mengukuhkan hubungan perdagangan dengan Amerika Syarikat dan tidak memberi perhatian terhadap adat tuan rumah.

"Ini tidak menjadi isu untuk delegasi kami, kerana kami adalah tetamu mereka. Bukan isu pun. Urusan yang ada menjadi tumpuan utama kami dan kelakuan mereka tidak menjadi perhatian kami," kata sumber itu.

Malaysiakini telah menghubungi kedutaan AS di Kuala Lumpur dan sedang menunggu maklum balas.

Lighthizer, dilihat sebagai orang penting di kalangan penasihat dalaman Presiden AS Donald Trump, juga menggambarkan sebagai individu pelopor perang perdagangan yang menggempur China, yang sejak itu memburuk dengan tarif baru pada awal bulan ini.

Financial Times dalam artikel pendapatnya berkata di tengah-tengah perang dagang dengan China, pentadbiran Trump juga menyasarkan Vietnam, India dan "Malaysia boleh menjadi (sasaran) seterusnya."

Mahathir telah berkali-kali mengkritik pendekatan pentadbiran Trump yang suka melakukan perang dagang mengatakan ia mengancam rangsangan terhadap ekonomi global ke dalam kemelesetan.

Perdana menteri Malaysia juga kurang bersikap diplomatik terhadap Trump, berkata sukar untuk bekerja dengan seseorang yang selalu mengubah fikirannya.

Jabatan Negara Amerika Syarikat juga sedang giat melakukan publisiti untuk menegaskan pengaruh AS yang semakin berkurang di Asia Timur dan Pasifik dalam menghadapi kebangkitan China di rantau ini.

Walau bagaimanapun, strategi ekonomi pentadbiran Trump mungkin mendorong negara-negara di rantau ini untuk berada di bawah pengaruh Beijing.


Laporan tambahan oleh GERALDINE TONG.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS