Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Tinjauan Malaysiakini di sebuah pasar raya dan dua kedai serbaneka mendapati jualan produk bukan Muslim tidak terjejas melalui kempen Beli Produk Muslim Dulu (BMF) yang hangat diperkatakan baru-baru ini.

Di pasar raya Giant di Shah Alam, Selangor, pengguna terutama kaum Melayu membeli belah seperti biasa tanpa ada tanda-tanda menunjukkan produk bukan Muslim berkurangan akibat kempen berkenaan.

Sama ada produk bukan Muslim atau Muslim yang disusun di atas rak di bahagian basah atau kering, juga tidak menunjukkan perbezaan.

Sementara itu, pekerja kedai serbaneka 99 Speedmart di Klang, Noor Rohita Mohd Jalil, 32 menjelaskan penghantaran barang buat masa kini tidak terjejas dan masih berjalan seperti biasa.

“Tiada pula (Stok terlebih atau berkurang). Tak kisah barang itu produk Muslim atau tidak, semua dihantar macam biasa saja.

“Saya ada juga baca berkenaan kempen itu tapi rasanya tidak jejas apa-apa kot,” katanya ketika ditemui Malaysiakini.

Selain itu, Ida yang bekerja di 7 Eleven Klang pula menjelaskan tiada perubahan terhadap jualan produk selepas kempen tersebut giat dijalankan.

"Barangan dihantar macam biasa dan syarikat memang dah ada senarai sendiri.

"Barang pun tak diagihkan, memang dihantar ikut apa yang disenaraikan, tidak pula kami perhati yang dihantar itu cuma produk Muslim atau bukan," katanya menambah pembeli dari kalangan kaum Melayu juga membeli seperti biasa.

Kempen BMF dikesan sejak akhir tahun lepas dengan tujuan menggalakkan pembelian produk keluaran Muslim. 

Kempen itu kurang mendapat perhatian sehingga sekitar Ogos, apabila semakin ramai menyertai kumpulan kempen tersebut di Facebook.

Bagaimanapun, terdapat penyokong kempen itu bersikap lebih ekstrem dengan mengajak orang ramai memboikot produk bukan Muslim.

Reaksi pembeli berbeza-beza

Meskipun keadaan dilihat seperti biasa, namun reaksi pembeli Melayu terhadap kempen BMF adalah berbeza-beza.

Shohailly Shahidan, 60, menjelaskan tiada keperluan mengikuti kempen mengutamakan produk muslim kerana proses rantaian pengeluaran sesuatu produk itu bukan hanya melibatkan kaum tertentu.

“Tidak ada kesan pun, tidak payahlah, benda tu (BMF). Kita ni duduk satu Malaysia lepas itu barangan produk ni satu rantaian, kalau pengeluarnya orang Melayu, pemborong mungkin kaum lain.

“Tidak perlu diperbesarkan. Memang keutamaan kita beli produk muslim tetapi kalau dah terbiasa dengan barang harian tu kadang-kadang kita pun tak tengok ia keluaran produk dari kaum mana,” katanya yang merupakan seorang pesara.

Seorang suri rumah Aniza Mokhtar, 42, berkata kempen tersebut tidak mengubah corak pembelian hariannya.

“Tiadalah. Ada dengar pasal (kempen BMF) viral tu, tetapi saya beli saja barang yang saya biasa beli. Tak periksa pula ia dari kaum mana.

“Kita ramai kaum tak perlulah (kempen sebegini). Nanti makin timbul isu kalau dibesar-besarkan,” katanya.

Berbeza pula pandangan dari Anwar Basirun, 46, yang menjelaskan kempen itu merupakan satu langkah baik bagi membantu menaikkan ekonomi Muslim.

"Kita tak nak orang Muslim dipijak-pijak, kalau ikutkan ekonomi memanglah kaum bukan Muslim yang kawal tetapi kita boleh bantu dengan mengubahnya.

“Kita memang kena sokong produk-produk Muslim ini. Kalau kita yang Muslim tidak bantu mereka, siapa lagi,” katanya.

Lihat Komen
ADS