Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Cadangan belia 18 tahun mengundi sebelum pendaftaran automatik

Pendaftaran pengundi berusia 18 hingga 21 tahun boleh dilakukan lebih cepat daripada tempoh s masa 18 hingga 24 bulan yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Badan pemantau pilihan raya, Bersih berkata, belia-belia berkenaan perlu dibenarkan mendaftarkan diri melalui mekanisme semasa iatu dengan mengisi borang melalui laman web SPR atau di pejabatnya, pejabat pos, atau melalui penolong pegawai pendaftaran.

Bercakap kepada Malaysiakini, Pengerusi SPR Azhar Harun, berkata, beliau bersetuju dengan cadangan itu jika  kerajaan melaksanakan pindaan  perlembagaan untuk menurunkan usia mengundi kepada 18 tahun.

"Mereka (18-21 tahun) boleh mula isi Borang A atau membuat pendaftaran dalam talian sebaik sahaja tarikh penguatkuasaan ditentukan.

"SPR berpendapat bahawa kerana pindaan perlembagaan diperoleh melalui sokongan bi-partisan, maka tarikh penguatkuasaan juga harus dipersetujui dengan cara yang sama," katanya ketika dihubungi.

Pada 16 Julai lalu, Dewan Rakyat, dengan sokongan bi-partisan, meluluskan rang undang-undang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan usia pengundian, dan umur untuk bertanding dalam pilihan raya, kepada 18 tahun. Rang undang-undang itu juga membenarkan pendaftaran pengundi secara automatik (AVR) .

 

Rang undang-undang itu kemudiannya diluluskan di Dewan Senat dan mendapat perkenaan Yang di-Pertuan Agong pada 4 September. Ia seterusnya diwartakan pada 10 September lalu.

SPR, dalam satu kenyataan pada 3 September, berkata suruhanjaya itu memerlukan masa antara 18 hingga 24 bulan untuk melaksanakan pindaan itu, sama ada secara bersama atau secara berasingan.

Mengulas perkara itu, Azhar berkata masa diperlukan untuk pelaksanaan AVR - yang memerlukan sistem baru.

"Bagaimanapun, (pembuat dasar) boleh membuat keputusan bila untuk menguatkuasakan pendaftaran 18 tahun, saya tiada masalah," katanya.

Terdahulu, Bersih, dalam satu kenyataan, berkata membenarkan belia yang berusia 18 tahun mendaftar secara manual boleh membenarkan mereka mengundi dalam sebarang pilihan raya sebelum AVR dilaksanakan.

"Bersih percaya bahawa jangkaan orang ramai, terutamanya mereka yang sudah atau akan mencapai usia 18 tahun tidak lama lagi, harus boleh membuang undi pertama mereka sekiranya ada pilihan raya kecil di kawasan mereka dan bagi mereka yang tinggal di Sarawak, untuk menyertai dalam pilihan raya negeri yang dijadualkan sebelum Ogos 2021," katanya.

Malaysiakini telah menghubungi kerajaan untuk memberi komen.

Sidang Parlimen akan datang bersidang pada 7 Oktober depan.

Lihat Komen
ADS