Sepasang kekasih ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes menyamun seorang wanita warga emas di Jalan Terasek, Bangsar, Kuala Lumpur pada Selasa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields Supt Arifai Tarawe berkata lelaki berusia 30 tahun itu ditahan polis yang sedang membuat rondaan di kawasan itu pada hari kejadian.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, mangsa yang berusia 63 tahun keluar dari keretanya sebelum dihampiri pasangan kekasih terbabit yang menaiki sebuah motosikal.

“Suspek lelaki mengacukan parang ke arah mangsa sebelum merampas beg silangnya.

“Anggota polis yang sedang membuat rondaan di kawasan itu berjaya menahan suspek lelaki bersama beg milik mangsa manakala teman wanitanya melarikan diri,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Arifai berkata suspek wanita berusia 28 tahun itu ditahan di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields semalam dan kedua-duanya direman sehingga Selasa depan untuk siasatan.

Menurutnya, hasil ujian awal saringan air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah dan turut mempunyai lapan rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah dan dadah.

Hasil pemeriksaan mendapati motosikal yang dinaiki kedua-dua suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dilapor hilang di Puchong, Selangor beberapa bulan lepas.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat kes Insp Lim We Tah di talian 012-911 9246 atau IPD Brickfields 03-2297 9222," katanya.

- Bernama