Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Baru semalam menunaikan solat Jumaat di Surau Utama Istana Negara bersama-sama, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dikejutkan dengan berita kematian Anggota Parlimen Tanjung Piai, Dr Mohamed Farid Md Rafik.

Pengerusi Bersatu itu tidak menyertai sidang media yang dijadualkan selepas Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Gerakan koperasi Sempena 100 Tahun pada 2022 di Cyberjaya untuk bergegas ke Pontian, Johor bagi menghadiri pengebumian allahyarham.

"Baru semalam mereka solat Jumaat bersama. Beliau (Dr Mahathir) agak sedih. Dia (Farid) ialah salah seorang pemimpin Bersatu yang dilihat berpotensi," kata seorang pegawai di Jabatan Perdana Menteri ketika memaklumkan tentang perkara sidang media itu kepada pemberita di Tamarind Square, Cyberjaya hari ini.

Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof yang hadir sama, turut meminta hadirin menyedekahkan surah al-Fatihah ketika menyampaikan ucapannya dalam majlis sama.

"Semoga Allah mencucuri rahmat kepada beliau," katanya.

Dr Mahathir tiba untuk menyertai acara itu kira-kira jam 11 pagi, dan beredar tidak sampai sejam selepas itu. Beliau menyampaikan amanat dan menyempurnakan gimik perasmian.

Dr Mahathir juga membatalkan lawatan ke pameran Coop Trade City yang sepatutnya dihadiri beliau di majlis sama.

Mohamed Farid yang juga Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri disahkan meninggal dunia sekitar 6.00 pagi tadi di Hospital Pontian.

Semalam, dalam hantaran di Facebooknya, allahyarham sempat memaklumkan kehadirannya dalam Majlis Bacaan Yassin dan Khutbah Jumaat Khas Sempena Hari Pahlawan 2019 di Istana Negara.

Allahyarham turut memuat naik beberapa keping gambar bersama Yang di-Pertuan Agong dan Dr Mahathir semalam.

Solat jenazah allahyarham dijadualkan diadakan pada jam 4.30 petang sementara upacara pengebumiannya dijadualkan 5.30 petang di Wakaf Hj Ahmad Chokoh di Pontian, Johor.

Lihat Komen
ADS