Paling Popular
Terkini

BELASUNGKAWA | Semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), saya ditugaskan membuat liputan di Johor yang menjadi medan pertempuran sengit antara BN dan Pakatan Harapan (PH).

Dalam percaturan Bersatu, lima kerusi parlimen yang ditandingi mempunyai peluang untuk menang besar iaitu di Pagoh, Muar, Sri Gading, Simpang Renggam dan Tanjung Piai.

Calon-calon bagi empat kerusi itu sama ada merupakan tokoh politik yang terkenal, pemimpin di peringkat pusat mahupun tokoh akademik.

Namun Bersatu meletakkan insan bernama Dr Md Farid Md Rafik, individu yang tidak begitu dikenali pada masa itu di Tanjung Piai.

Pada April itu saya tiba di Tanjung Piai, yang terkenal dengan julukan penghujung selatan benua Asia-Eropah. Di situlah saya mula berkenalan dengan Farid.

Beberapa kali bersembang dengannya, saya perhatikan beliau seperti tidak berminat dengan politik, malah seakan sukar menyesuaikan diri dalam kancah yang dilihat kotor itu.

Saya difahamkan Md Rafid bertanding kerana faktor ibunya, Norma Mohamad atau lebih mesra dengan sapaan Mak Ne yang merupakan seorang pemimpin Bersatu tempatan. Mak Ne juga adalah bekas ketua wanita Umno Tanjung Piai.

Atas panggilan Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad, Farid akhirnya bertanding dan menang di luar jangkaan.

Sebulan selepas perdana menteri menubuhkan barisan kabinetnya yang pertama, saya menerima panggilan daripada Farid untuk berbual-bual kosong.

Beliau bertanya kepada saya apakah fungsi Parlimen dan saya dengan nada bergurau berkata kepadanya: “Kau sebagai ahli parlimen penggal pertama, tak kan tahu menulis soalan parlimen lagi kan?”

Kami pun ketawa bersama-sama di atas talian.

Tenang di parlimen

Namun di luar jangkaan sekali lagi, Farid dilantik sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri. 

Pada masa itu di parlimen, Farid tidak perlu bertanyakan soalan sebaliknya dialah yang bertanggungjawab untuk menjawab soalan-soalan berkaitan kementeriannya.

Bagaimana pun, kami masih bertukar-tukar pandangan dalam banyak isu seperti isu Orang Asli, penjawat awam, Jabatan Perkhidmatan Awam, dilema PH untuk mengambil hati pengundi Melayu dan isu di kawasannya.

Beliau juga berusaha memulihkan Rukun Tetangga dengan harapan untuk mengeratkan hubungan antara jiran berbilang kaum.

Di parlimen, Farid adalah sosok politik yang sederhana dan sedia mendengar pendapat ahli parlimen sama ada daripada kerajaan mahupun pembangkang.

Saya masih ingat lagi walaupun dalam keadaan riuh rendah di parlimen pada April lalu, Farid masih bersikap tenang dan tidak membalas dengan agresif kekecohan ditimbulkan pembangkang dalam isu pemberian peruntukan untuk ahli parlimen yang dikatakan tidak adil.

Dalam kesibukan urusan di  Putrajaya, beliau berasa tidak selesa kerana jarang dapat memperuntukkan masa untuk berkhidmat kepada pengundi di kawasannya, yang terdiri daripada 41 peratus pengundi Cina.

Pengalaman panjang menyambung pengajian di Britain lebih 10 tahun dan berkhidmat sebagai doktor bius di Melaka, menjadikan Farid kurang beriteraksi dengan dunia selain itu.

Maka dalam satu sesi “membawang” bersama saya, Farid menyatakan keinginannya untuk belajar bahasa Mandarin sebagai permulaan memahami dunia yang berbeza.

Secara kebetulan, pada masa itu juga berlaku kontroversi mengenai pengenalan tulisan khat oleh kementerian pendidikan. 

Saya katakan kepada Farid bahawa saya sudi mengajarkannya bahasa Cina yang asas.

Beliau menjawab 'ok!'. Tetapi selepas itu kami masing-masing agak sibuk dan hasrat berkenaan tertangguh sehinggalah dua hari lepas.

'Saya Tanjung Piai Ahli Parlimen'

Malam itu, kami berjumpa di Shaftesbury Starbuck, Putrajaya, tempat selalunya kami lepak dan 'membawang'. 

Kelas pertama bahasa Cina Farid bermula di kafe moden itu. Saya mengajarnya perkataan “Selamat Pagi, Selamat Petang dan Selamat Malam.”

Sambil membaca logogram Cina yang asing baginya, Farid bertanya bagaimana untuk memperkenalkan diri sebagai: “Saya Ahli Parlimen Tanjung Piai".

Saya mengajar beliau setiap karakter Cina untuk membunyikan: “Saya Tanjung Piai Ahli Parlimen” (Tatabahasa bahasa Cina adalah terbalik dengan Bahasa Melayu).

Jam pada masa itu sudah menunjukkan pukul 12 malam. Sebelum berpisah, saya bertanya bilakah beliau memiliki masa lagi untuk berjumpa di Tanjung Piai dan mengajarkan saya pula memancing ikan di laut. 

Saya juga katakan kepadanya bahawa saya mahu mendengar dia bercakap 'Saya Ahli Parlimen Tanjung Piai' dalam Mandarin.

Saya juga katakan kepadanya bahawa saya boleh mengambil cuti tahunan pada Dis untuk datang semula ke Tanjung Piai.

Sebelum kami berpisah, Farid mengatakan dia lebih sesuai untuk bekerja di sebalik tabir dan masih menyesuaikan diri sebagai ahli politik. 

Kami bersalaman dan mengucapkan selamat tinggal. 

Namun ucapan selamat tinggal itu rupa-rupanya adalah ucapan perpisahan terakhir. Tiada lagi kelas bahasa Cina kali kedua untuk ahli parlimen itu.

Ungkapan “Saya Tanjung Piai Ahli Parlimen” tidak akan dapat didengar lagi dari Farid. Salam takziah.

Lihat Komen
ADS