Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada lagi pendaftaran lewat kelahiran di Jabatan Pendaftaran Negeri
Diterbitkan:  Sep 22, 2019 2:10 PM
Dikemaskini: 6:10 AM

Kementerian Dalam Negeri memberhentikan serta-merta pendaftaran lewat kelahiran di Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) dan menetapkan hanya boleh dilakukan di ibu pejabat JPN untuk semak dan imbang.

Langkah berkenaan antara yang diambil bagi mengekang isu sindiket penjualan kad pengenalan kepada warga asing.

Menterinya Muhyiddin Yassin berkata keputusan itu dibuat pada 18 Sept lepas dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KDN Alwi Ibrahim berikutan isu sindiket penjualan kad pengenalan (MyKad) kepada warga asing yang berlaku di Pulau Pinang baru-baru ini.

Selain itu, KDN dalam kenyataan medianya hari ini turut memaklumkan bahawa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengusul diwujudkan bank data deoxyribonucleic acid (DNA) dan dimasukkan dalam sijil kelahiran agar dapat mengekang ketirisan untuk jangka masa panjang.

Ia adalah antara langkah yang diputuskan untuk penambahbaikan serta-merta dan strategi memperkemas sistem penyampaian JPN termasuk memperketat Prosedur Pengendalian Standard (SOP) sedia ada JPN.

Katanya kekerapan proses naziran secara mengejut di semua bahagian JPN termasuk terhadap vendor yang terlibat akan dipertingkatkan bagi memastikan semua tatacara yang telah ditetapkan dipatuhi, serta menambah baik aras keselamatan berperingkat agar tidak lagi boleh diakses dengan mudah oleh semua pegawai sebaliknya perlu melalui verifikasi daripada pegawai atasan.

Langkah itu turut melibatkan penukaran pegawai JPN secara pusingan untuk mengelakkan satu-satu pegawai berada di posisi sama lebih daripada dua tahun bagi meminimumkan salah guna kuasa, dan menyemak semula semua sijil kelahiran yang belum dituntut untuk dinyahaktifkan daripada pangkalan sistem bagi mengelakkan salah guna.

“Saya ingin menegaskan, KDN tidak akan melindungi mana-mana pegawai kerajaan yang terlibat dalam kes penjualan MyKad ini dan memberi kuasa penuh kepada PDRM untuk menyiasat dan mendakwa pengkhianat negara.

“Pada masa sama, KDN juga tidak akan berkompromi dengan penyebaran berita tidak sahih dan palsu yang ditularkan, dan memberi amaran bahawa tindakan perundangan akan diambil ke atas penyebar berita dan maklumat palsu sebagai pengajaran kepada pihak lain supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang melibatkan berita tidak benar," katanya.

Lihat Komen
ADS