Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kementerian kumpul data guru buat kelas di Youtube

Kementerian Pendidikan sedang mengumpul data berkaitan guru yang melakukan inisiatif sendiri merakam pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) mereka melalui saluran Youtube untuk dimasukkan ke dalam sebuah portal yang lebih menyeluruh dan sistematik.

Pengarah Bahagian Sumber Teknologi Pendidikan (BSTP) kementerian itu, Shafruddin Ali Hussin berkata, ramai guru di seluruh negara yang berkongsi ilmu dan kepakaran mereka di Youtube dan bakat mereka itu sangat diperlukan ke arah transformasi kaedah pemindahan ilmu kepada murid secara global.

"Kami di kementerian telah membangunkan platform pembelajaran digital yang boleh dijadikan repositori untuk semua guru berkongsi bahan digital yang mereka hasilkan agar ia menjadi satu platform yang lengkap dan menyeluruh untuk rujukan semua pihak.

"Ini selaras dengan saranan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yang mahu kementerian terus mewujudkan suasana pembelajaran secara interaktif agar proses pembelajaran secara dalam talian itu juga boleh diaplikasi dalam kelas," katanya ketika ditemui pemberita di RTM Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini.

Tambahan pula, video yang dikongsikan oleh guru di Youtube sangat menarik dan bercorak interaktif yang sangat disukai pelajar kerana memudahkan pemahaman mereka.

Kini terdapat beberapa platform yang disediakan kementerian kepada murid-murid untuk sesi pembelajaran secara digital seperti EduWeb TV dan Google Classroom.

Beliau berkata semua murid telah diberikan nombor pengenalan peribadi (ID) untuk mengakses masuk ke pelantar pembelajaran digital ini dan ia boleh dilakukan di mana sahaja dan pada bila-bila masa asalkan mempunyai capaian internet.

Shafruddin berkata, satu kajian yang dilakukan ke atas 293,000 murid Tahap Dua di seluruh negara mendapati 93.9 peratus murid yang berusia lebih 10 tahun pernah menggunakan telefon pintar dan mereka tahu bagaimana untuk mengakses masuk ke dalam platform pembelajaran digital yang disediakan itu.

-Bernama

Lihat Komen
ADS