Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jho Low amat rapat dengan Najib, kata bekas CEO 1MDB
Diterbitkan:  Sep 23, 2019 5:02 PM
Dikemaskini: 9:02 AM

KES 1MDB NAJIB l Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi mendedahkan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini bahawa Low Taek Jho atau Jho Low mempunyai hubungan rapat dengan Najib Razak dan mempunyai akses untuk bertemu Najib di rumah di Jalan Langgak di Kuala Lumpur atau di Sri Satria Putrajaya.

Shahrol Azral, 49, berkata pada awal beliau menyertai Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) pada 2009 beliau mendapati Jho Low mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan Najib yang ketika itu adalah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata hubungan rapat itu berdasarkan faktor-faktor seperti setiap tindakan Jho Low dalam mengariskan apa-apa arahan Najib, akan dipersetujui dan diluluskan Najib sendiri.

Malahan, beliau yakin bahawa Najib menurunkan mandat kepada Jho Low untuk merancang dan mengatur operasi TIA dan 1MDB dari belakang melalui dokumen-dokumen perkara yang perlu dicakapkan dan pelan tindakan.

“Saya melihat beliau sebagai fasilitator (pemudahcara) di antara Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin (ketika itu) dan Najib yang mewakili kerajaan pusat. Namun beliau memang merupakan orang penting Najib dan menjaga kepentingan Najib dari awal lagi.

“Saya nampak beliau ada perhubungan secara langsung dengan Najib. Sebagai contoh, semasa mesyuarat BOD (lembaga pengarah) TIA, beliau boleh terus menghubungi Datuk Seri Najib melalui telefon untuk meminta pandangan dan Jho Low ada akses untuk bertemu Najib di rumah Najib sama ada di Jalan Langgak Duta Kuala Lumpur atau di Sri Satria Putrajaya iaitu kediaman rasmi TPM.

“Sebagai contoh, pada bulan Mac 2009, Jho Low ada meminta saya berjumpa dengan CEO Mubadala Petroleum di kediaman rasmi Najib di Sri Satria. Pada masa itu saya nampak dengan jelas bahawa Jho Low memang mempunyai akses secara terus kepada Najib,” katanya semasa membacakan penyataan saksinya.

Beliau berkata sejak dilantik sebagai pengarah dan CEO TIA, beliau telah dimaklumkan oleh Jho Low dan Casey Tang selaku pengarah eksekutif TIA bahawa di awal penubuhan TIA lagi terdapat cadangan untuk kerajaan persekutuan mengeluarkan Jaminan Kerajaan (GG) bagi menambahkan dana dalam TIA dan kerajaan negeri Terengganu pula akan menyuntik dana sebanyak RM6 billion melalui sekuriti wang ehsan atau royalti minyak.

Katanya pada masa itu peranan perdana menteri adalah sebagai mewakili kerajaan persekutuan dalam menjaga kepentingan kerajaan persekutuan.

Shahrol Azral berkata itu apa yang telah dinyatakan oleh Jho Low dan Tang kepadanya sebagai maklum balas kepada persoalannya tentang peranan kerajaan persekutuan di dalam TIA pada peringkat beliau menyertai TIA.

Beliau yang dilantik sebagai CEO TIA pada 23 Mac 2009 berkata bahawa Jho Low telah mencadangkan namanya kepada Tuanku Mizan Zainal Abidin yang merupakan pengerusi TIA untuk dilantik sebagai salah seorang pengarah serta CEO TIA.

“Setelah menghadap DYMM Tuanku, saya telah dimaklumkan bahawa saya telah diperkenankan oleh DYMM Tuanku untuk dilantik sebagai CEO serta pengarah di TIA.

“Saya menyertai TIA lewat sedikit daripada penubuhan awal TIA dan saya tidak terlibat di peringkat awal penubuhan TIA. Setelah menyertai TIA, saya telah membuat beberapa kajian sendiri untuk mengenali syarikat tersebut dengan lebih mendalam dengan cara membaca mengenai latar belakangnya serta membuat beberapa pertanyaan kepada individu-individu yang berada di dalamnya.

“Daripada kajian yang saya lakukan, saya mendapat tahu bahawa TIA mula ditubuhkan pada 27 Februari 2009 dengan modal permulaan sebanyak RM2.00,” katanya yang menambah Jho Low dilantik sebagai penasihat TIA pada 8 April 2009.

Saksi pendakwaan penting itu berkata idea penubuhan TIA ini dimulakan oleh DYMM Tuanku Sultan Mizan bersama-sama dengan penasihat TIA iaitu Jho Low.

Katanya ia lanjutan daripada lawatan yang telah dibuat ke Syarikat Mubadala di Abu Dhabi dan selepas itulah terbitnya idea DYMM Tuanku Mizan untuk mewujudkan ‘sovereign wealth fund’ seperti yang dimiliki oleh Abu Dhabi.

“Fakta ini hanya diketahui oleh saya melalui perbualan dengan Jho Low di awal penyertaan saya di dalam TIA,” katanya.

Beliau berkata beliau mengenali Jho Low sekitar 2007 semasa bekerja sebagai Juruanalisa di sebuah syarikat konsultan iaitu Andersen Consulting yang kemudiannya dikenali sebagai Accenture hingga tahun 2009.

“Semasa bekerja di Accenture, saya mempunyai seorang klien yang saya kenali sebagai Low Taek Jho. Beliau juga dikenali dengan nama Jho Low. Saya mula mengenali beliau sekitar tahun 2007. Semasa itu beliau merupakan Pengarah Urusan di syarikat UBG.

Pejabat kami berada di dalam bangunan yang sama iaitu di Tower 2, Menara Petronas Twin Towers, Kuala Lumpur. Perkenalan kami bermula apabila Jho Low telah meminta syarikat saya menyediakan satu sistem pelaburan untuk syarikat beliau,” katanya.

Saksi itu berkata pada sekitar penghujung 2008, Jho Low menghubunginya dan menyatakan beliau sedang menguruskan satu dana yang melibatkan badan Kerajaan dan juga sedang menubuhkan satu dana baharu.

“Selepas daripada itu saya tidak ada lagi dihubungi oleh Jho Low sehinggalah pada pertengahan bulan Mac 2009 apabila Jho Low ada menghubungi saya untuk bertanyakan sama ada saya bersetuju untuk menyertai TIA yang merupakan sebuah tabung kekayaan berdaulat (sovereign wealth fund) yang ditubuhkan bertujuan untuk memberi pembangunan ekonomi kepada negeri Terengganu untuk jangka masa panjang dan melestarikan sosio-ekonomi rakyat Terengganu secara amnya,” katanya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di Kuala Lumpur antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS