Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam dakwa pembantu rumah mungkin 'buah catur politik'
Diterbitkan:  Sep 24, 2019 1:05 PM
Dikemaskini: 5:20 AM

Sebutan semula kes exco kerajaan negeri Perak, Paul Yong Choo Kiong yang didakwa atas tuduhan merogol pembantu rumahnya warga Indonesia, Julai lalu gempar apabila peguam pemerhati yang dilantik keluarga mangsa, Gabriel Susayan mendakwa anak guamnya mungkin adalah “buah catur politik”.

Ketika maklumat itu didedahkan di mahkamah, peguam bela Yong, Ram Karpal Singh tampil mencelah dan berkata laporan polis harus dibuat berhubung tuduhan tersebut.

Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, peguam utama Yong, Leong Cheok Keng yang juga adalah Adun Malim Nawar berkata, peguam pemerhati mangsa mungkin mengetahui maklumat tertentu yang tidak diketahuinya.

"Saya belum menerima maklumat lanjut daripada peguam (pemerhati itu) mengenai mengapa mereka berkata demikian.

"Mereka mungkin mempunyai maklumat tertentu untuk membuat tuduhan bahawa pembantu rumah itu mungkin menjadi 'buah catur dalam permainan politik' atau ' buah catur politik'," kata Leong.

Kes itu kemudiannya ditetapkan untuk sebutan semula pada 22 Oktober, dengan perbicaraan bermula dari 11 hingga 15 November.

Yong dituduh merogol wanita berusia 23 tahun itu di rumahnya pada 7 Julai. Dia mengaku tidak bersalah.

Sementara itu, berlaku sedikit kekecohan di luar mahkamah, dengan penyokong Yong mengadakan bantahan terhadap Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming.

Nga, yang berada di Kazakhstan, sebelum ini mengarahkan pemimpin DAP Perak untuk hadir dan menunjukkan sokongan mereka kepada Yong.

Bagaimanapun, penyokong yang hadir di mahkamah hari ini tidak mesra dengan pengerusi DAP Perak itu dan melaung-laungkan kata-kata "Hidup Paul Yong" dan "Nga Kor Ming letak jawatan".

Nga Kor Ming, Pengerusi DAP Perak

Perbalahan tercetus dalam DAP Perak selepas Nga memberitahu wartawan bahawa sementara Yong bercuti dari jawatan kerajaan negeri, Pakatan Harapan akan membincangkan lanjut perkara itu berdasarkan "perkembangan semasa".

Leong, yang adalah timbalan bendahari DAP Perak, dan Penolong Setiausaha DAP Perak, Leow Thye Yih, masing-masing meletakkan jawatan mereka susulan daripada kenyataan itu.

Leow kemudiannya melabelkan Nga sebagai seorang diktator, yang didakwa memanipulasi keputusan pemilihan DAP Perak, dan mendesaknya supaya meletakkan jawatan.

Jawatankuasa DAP Perak menafikan dakwaan memanipulasi berkenaan.

Lihat Komen
ADS